Friday 1 July 2011

SISTEM DEMOKRASI – SATU BENTUK BERHALA MODEN


Sistem demokrasi diwar-warkan sebagai sistem terbaik untuk manusia menjalani kehidupan di muka bumi ini. Perkataan demokrasi bererti ‘pemerintahan oleh rakyat’ berasal dari Greek yang diperkenalkan pada sekitar pertengahan abad ke-4 BC.  Secara asasnya istem ini diamalkan dengan memilih seseorang/sekumpulan untuk memimpin sekumpulan manusia yang lain dan mewakili mereka membuat keputusan dalam pemerintahan. Di samping memilih, sifat demokrasi juga boleh menolak  yakni pemimpin yang tidak digemari oleh kumpulan majoriti boleh dijatuhkan.

Pakej kalimat yang menjadi gandingan demokrasi adalah seperti  keadilan, kesamarataan dan kebebasan. Boleh dikatakan ianya dipraktik dan menjadi wirid harian dalam seluruh kehidupan kebanyakan umat manusia di seluruh pelusuk benua. Justeru isu-isu kehidupan yang mencakupi aspek politik, ekonomi dan sosial telah diamalkan atas kerangka demokrasi. Dari sudut politik, perebutan kuasa di antara kumpulan-kumpulan adalah sesuatu yang lumrah. Mereka  saling bertelingkah untuk menjatuhkan di antara satu sama lain dan mengamalkan kerja-kerja mungkar untuk menguasai sekumpulan orang ramai supaya memihak kepada mereka. Dalam bab ekonomi, terdapat aktiviti dan sistem kewangan yang berat sebelah, monopoli, bebas untuk menguasai pasaran dan bebas untuk mengamalkan riba. Manakala dalam aspek sosial adalah laungan kesamarataan jantina, perkahwinan sejenis dan seks bebas. Paling ketara adalah dalam siasah/politik di mana dapat dilihat demokrasi dijadikan perkataan keramat oleh semua orang walhal kedapatan mereka sendiri tidak memahami istilah demokrasi. Rata-rata mereka memahami bentuk demokrasi seumpama dalam dailog filem Melayu lama, “satu untuk engkau, satu untuk aku” atau “suara majoriti (terbanyak) adalah paling benar” atau “suara rakyat suara keramat” yang mana dikaitkan dengan keadilan dan hak asasi. Barah demokrasi yang paling kronik adalah apabila orang berkata "hak kita berdemonstrasi dijamin oleh perlembagaan yang bercirikan demokrasi". Namun adakah mereka berani untuk terus menyambung dengan ungkapan sebegini "....walaupun mengikut al-Quran dan as-Sunnah demonstrasi itu haram?".

Sebagai umat Islam, wajib kita memahami bahawa sistem demokrasi bukanlah amalan pemerintahan yang dituntut oleh al-Quran, bukan amalan Rasulullah Sallallahi Alaihi Wassalam dan tidak juga dipraktikkan oleh Khalifa ar Rasyidin dan sahabat-sahabat. Justeru dapat disimpulkan bahawa sistem demokrasi tidak dapat dijadikan sandaran kita dan adalah tertolak di sisi Islam. Cuba fikir atas iradah siapa yang mewujudkan ketua dalam kawanan haiwan di rimba? Sudah pasti haiwan tidak mengundi dalam pilihanraya untuk memilih ketua. Jawapan yang jelas adalah Allah Yang Maha Pencipta yang memberi ‘instinct’ supaya muncul di kalangan haiwan tersebut untuk menjadi ketua. Dalam hal yang sama, suara teramai bukanlah juga asas untuk memilih jalan hidup. Adakah suara teramai di beberapa negara Eropah yang menghalalkan pelacuran, judi, riba dan seribu satu macam maksiat yang melanggar hukum Allah Subhanahu Wataala dan hukum fitrah manusia dapat diterima? Logik akal yang tidak dicemari hawa nafsu akan maklum dalam membezakan antara yang haq dan batil kerana Islam, akal dan fitrah ada  perkaitan dan tidak bertentangan di antara satu sama lain. Namun dalam konteks politik Malaysia dan demi ‘survival’ Melayu Islam, demokrasi hanyalah sebagai wadah mengambil kemudaratan yang teringan daripada dua kemudaratan. Namun kewajipan untuk kita kembali berpaksikan kepada neraca al-Quran dan as-Sunnah dalam politik masih perlu diusahakan. Dalam usaha pencarian sistem pemerintahan yang haq, umat Melayu Islam jangan taksub dan bertuhankan demokrasi yang mana ianya dijadikan berhala moden, dipuja, disembah dan diagung secara melampau mengatasi sistem pemerintahan yang telah digariskan oleh al-Quran dan as-Sunnah! Wallahu a’lam.