Sunday 30 December 2012

BID’AH DAN DOKTRIN SANGKA BAIK


Ulama-ulama Salaf telah membincangkan dengan panjang lebar mengenai persoalan bid’ah. Namun begitu sebahagian besar umat Islam terus masih tidak memahami isu ini dengan sepenuhnya sebagaimana tuntutan al-Quran dan as-Sunnah serta kefahaman generasi Islam pada 3 kurun pertama. Maka terjadinya penyelewengan ilmu dan ramai umat Islam terperangkap dalam doktrin demokrasi dan suara majoriti.
Polemik ini bukanlah baru, ianya bermula lebih kurang 1,100 tahun yang lalu. Maraknya bid’ah adalah selepas kurun mufadholah di mana berlaku penyelewengan sama ada secara sedar atau tidak seperti kemasukan pemikiran falsafah Yunani, gejala murtad, penggunaan logik akal, penyebaran hadith-hadith palsu dan rutin harian yang meminggirkan agama. Natijahnya terdapat kelompok Islam yang menafsirkan al-Quranul dan mensyarah hadith-hadith secara semberono dan mengikut hawa nafsu masing-masing. Mereka juga tidak menjadikan amalan dan praktik sahabat, tabiin dan tabiut tabiin sebagai panduan yang sahih.
Aqidah umat Islam akhir zaman menepati sabda Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam iaitu akan terpecah kepada 73 firqah di mana hanya satu sahaja yang diterima iaitu ahlussunnah wal jamaah. Justeru ramailah pihak mengaku sebagai ahlussunnah wal jamaah. Walau bagaimanapun agama Islam ini ada pemiliknya iaitu Allah Azawajalla, Yang Maha Mengetahui siapakah yang mengikuti risalahNya yang disampaikan oleh  Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam. Oleh itu agak mudah untuk mengetahui letak duduk perkara ini dengan hanya bertanya golongan yang menyeleweng iaitu “Adakah apa yang kamu turuti dan ajarkan dalam agama Islam adalah seperti apa yang didakwahkan oleh Nabi sallAllahu `alaihi wasallam dan sebagaimana yang diamalkan oleh para sahabat Baginda, tabiin dan tabiut tabiin?.
Terjahan deras bid’ah oleh pelaku bid’ah tegar mendapat tempat di kalangan masyarakat awam kerana disaluti dengan pemikiran sangka baik di mana terdapat doktrin sangka baik iaitu “walaupun Nabi tak buat tapi apa salahnya kita nak buat baik”. Malah kedapatan antara mereka dengan nada sinis berkata “Kenapa tak naik unta, kan Nabi naik unta”. Mereka tidak dapat membezakan antara ibadat dan urusan dunia ummah. Sedang kaifiat sesuatu ibadat ditunjukkan dengan jelas oleh Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam yang kemudiannya diamalkan oleh para sahabat, tabiin dan tabiut tabiin.
Lebih mengelirukan apabila mereka membahagikan bid’ah kepada hasanah(baik) dan sayyiah (keji), sedangkan Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda “Hati-hatilah dengan perkara yang diada-adakan karena setiap perkara yang diada-adakan adalah bid’ah dan setiap bid’ah adalah sesat.” (HR. Abu Daud no. 4607 dan Tirmidzi no. 2676). Apa yang pasti bentuk bid’ah hakiki tidak berlaku seperti solat Isyak adalah 5 rakaat atau solat jemaah mingguan pada hari Khamis bukannya pada hari Jumaat sebaliknya mereka cenderung ke arah bid’ah idhafi seperti bacaan, ucapan selingan atau perbuatan yang diletakkan dalam premis sangka baik mereka walhal tidak ada usul daripada Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam, para sahabat, tabiin dan tabiut tabiin. Kita juga tidak pelik pada satu hari nanti atas alasan sangka baik, solat tahyatul masjid, solat dhuha akan dikerjakan secara berjemaah. Di kala masih ramai yang tidak mengamalkan anjuran Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam dalam urusan muamalat, munakahat dan iktisad supaya mengikut sunnah, pencipta bid’ah secara tidak amanah telah meninggalkan sunnah Baginda. Mereka  sanggup menghafal dan mencipta sesuatu ibadah yang tidak ada usul. Malah mereka secara tidak jujur menisbahkan sesetengah amalan bid’ah tersebut kepada Imam-imam empat mazhab.
 Mudaratnya bid’ah adalah kerana orang Islam tidak dapat membezakan mana yang haq dan mana yang bathil. Kesesatan yang paling ketara adalah hilangnya “samiqna wa athaqna” walaupun tertera dengan jelas dalam al-Quran mahupun hadith sahih kerana meletakkan doktrin sangka baik guru-guru mereka mengatasi apa yang telah diajarkan oleh  Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam.
Imam Sufyan at-Tsauri menyifatkan kepentingan menuruti sunnah dengan berkata, ““Jika kamu mampu untuk tidak menggaru kepala kecuali ada hadis yang membenarkannya maka lakukanlah.” Justeru kembalilah kepada agama yang haq, agama yang telah diturunkan oleh Allah Subhanahu Wataala kepada Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam dan beramallah sesuai dengan amalan baginda dan para sahabat yang telah dijanjikan jannah. Wallahu ‘alam.