Friday 26 October 2012

SEMUA PEPERANGAN PENJAJAH MEMPUNYAI PERSAMAAN

BERITA pembunuhan beramai-ramai oleh askar Amerika terhadap 16 orang awam Afghanistan yang kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, membuatkan saya mengimbau kembali 14 peperangan dan konflik penjajah yang telah saya liputi. Dahsyat tetapi tidak menghairankan.

Ia menggambarkan apa yang saya panggil sebagai Iron Laws of Colonial Warfare atau dalam maksud yang mudah difahami sebagai undang-undang atau prinsip kawalan yang dipertikaikan dan tidak dapat disekat seperti:

1.         Pilih satu alasan yang baik untuk menyerang sebuah negara yang anda hajati. Perancis menyerang Algeria pada tahun 1830 selepas pemerintahnya kononnya menguis Duta Perancis dengan pemukul lalat. Semasa era kolonial abad ke-19, Britain dan Perancis mencetuskan konflik dan kemudian mendakwa pencerobohan mereka adalah untuk membawa cahaya Kristian dan tamadun Barat ke benua Afrika dan Asia. Berlakunya satu insiden yang terkenal di Teluk Tonkin yang mencetuskan Perang Vietnam. Semasa era pentadbiran Bush, alasan untuk menjarah sesebuah negara adalah sebagai menyebarkan tuntutan demokrasi.

Alasan yang diguna pakai pada hari ini adalah misi menyelamat kemanusiaan. Negara Libya yang kaya dengan minyak adalah contoh utama. Britain, Amerika Syarikat dan Perancis berperanan menimbulkan pemberontakan di Benghazi, setelah itu  mereka campur tangan secara ketenteraan.

2.         Pecah dan takluk sebagaimana kata orang Rom. Pilih puak penentang atau kumpulan minoriti yang tidak berpuas hati secara memihak kepada mereka terhadap kumpulan majoriti dan jadikan mereka sekutu dalam pemerintahan penjajah. Contoh yang baik adalah sokongan terhadap puak Tajik dan Uzbek di Afghanistan oleh Soviet Union dan selepas itu oleh Amerika Syarikat dalam menentang puak majoriti Pashtun. Sebagaimana puak Tamil di Sri Lanka lebih disukai oleh Empayar British atau penduduk Kristian Ambon di Indonesia yang digunakan oleh Belanda untuk menguatkuasakan peraturan kejam mereka.

3.         Menubuhkan tentera upahan di kalangan rakyat pribumi. Tentera Imperial Britain menggunakan askar Gurkha dan Sepoy di India, Perancis menggunakan tentera Senegal di Afrika Utara manakala Amerika Syarikat menggunakan puluhan ribu tentera upahan di Iraq dan Afghanistan. Kewujudan Britain’s Indian Raj adalah hasil usaha sama sekumpulan putera-putera. Pihak Soviet memerintah kawasan Eropah Timur melalui tentera komunis tempatan dan pasukan keselamatan mereka.

4.         Mengecam semua kumpulan yang menentang pemerintahan asing sebagai: fanatik agama, pengganas, liar, dan penyamun (istilah kegemaran Soviet). Media Barat sentiasa mengecam pemimpin kemerdekaan sebagai "mullah gila", " pengganas berbahaya", "Hitler di Sungai Nil (Nasser)", atau kegemaran pada hari ini, "Hitler di Teheran".

5.         Lebih lama pendudukan tentera penjajah, mereka bermula dengan tidak menyukai dan akan lebih membenci penduduk tempatan dengan mengganggap mereka sebagai ganas dan tidak berperikemanusiaan. Hukuman kolektif terhadap orang oleh tentera penjajah yang penuh kemarahan, kecewa dan ketakutan menjadi perkara biasa. Kekejaman akan meningkat. Fikirkan tentang pembunuhan beramai-ramai di Mai Lai, Vietnam, pembunuhan beramai-ramai yang terkenal di Amritsar, India, penindasan tentera India terhadap pejuang Kashmir, kekejaman Jepun di China, kekejaman tentera marin AS di Falluja, Iraq, atau kekejaman tentera Rusia di Chechnya.

6.         Pendudukan tentera penjajah semakin bergantung kepada kekejaman dan ugutan, kemudian penyeksaan dan hukuman mati secara rahsia. Imej Tentera Perancis tercemar dan hilang kehormatan akibat jenayah mereka di Algeria. Amerika Syarikat telah mengulangi jenayah dahsyat ini di Afghanistan. Itali menggunakan kem-kem tahanan dan gas beracun untuk menundukkan Libya pada tahun 1930an. USSR telah membunuh seramai 1.5 juta rakyat Afghanistan. Semua peperangan penjajah adalah kotor.

7.         Tentera penjajah mendapati diri mereka dikelilingi oleh penduduk awam yang memusuhi mereka, mendapat serangan dari semua pihak, dikhianati walaupun oleh rakyat tempatan yang menjadi sekutu rapat mereka. Mereka menjadi semakin kejam, pendendam, perogol dan terdedah kepada penggunaan dadah. Serangan mengejut, jerangkap samar, periuk api dan lain-lain alat letupan menyebabkan ketakutan meluas dan kemurungan. Rusia kini mengalami wabak heroin maut akibati pendudukan mereka ke atas Afghanistan selama 10 tahun. Kaedah penyeksaan di Iraq dan Afghanistan menular kepada sistem penguatkuasaan undang-undang AS. Ramai bekas tentera Amerika Syarikat yang berkhidmat di negara-negara Dunia Ketiga dalam peperangan neo-colonial pulang untuk menyertai pasukan polis dan agensi-agensi kerajaan.

Perasaan tentang pengkhianatan telah dirasai. Puak komunis tempatan Afghanistan yang menjadi sekutu Soviet seringkali mengadakan perhubungan rahsia dengan pejuang Mujahidin dan memberi amaran kepada mereka tentang operasi tentera Soviet.  Pada hari ini, ramai anggota kerajaan Afghanistan yang ditubuhkan Amerika Syarikat secara rahsia bekerjasama dengan puak Taliban dan sekutu-sekutunya

8.         Pendudukan tentera asing dan kewujudan garison tentera tidak dapat tidak akan menyebarkan rasuah, pelacuran, budaya tercemar dan penyakit kelamin. Tentera asing akan terus memperkukuhkan kubu-kubu mereka, keluar untuk mengambil tindakan balas dan mengibarkan bendera. Tanggapan bahawa seorang askar yang berusia 20 tahun daripada kalangan masyarakat Barat dapat memenangi hati dan minda puak Afghanistan adalah salah satu mitos yang paling lucu pada zaman kita ini.

9.         Tentera asing dapat mengubah diri mereka dengan cepat kepada satu kuasa penjajah: persenjataan ringan, unit polis bergerak. Apabila perang sebenar berlaku, mereka tidak bersedia untuk menentang seteru yang lebih moden. Pada tahun 1914, tentera imperialis Britain telah dikalahkan di medan pertempuran Flanders. Amerika Syarikat telah menyusun semula tentera mereka untuk penjajahan melalui peperangan. Tetapi mereka mungkin akan berperang dengan China atau Korea Utara.

ALIH BAHASA. Eric S. Margolis adalah pemenang anugerah, kolumnis antarabangsa, menulis terutamanya tentang Timur Tengah dan Asia Selatan. Komen: letters@thesundaily.com

Sunday 21 October 2012

KERAJAAN SYIAH IRAN MELARANG KAUM SUNNI BERSOLAT DI UNIVERSITI-UNIVERSITI





Kerajaan Syiah Iran telah mengeluarkan arahan melarang kaum Sunni mengerjakan solat di university-universiti dan kem tentera. Asharq Al-Awsat difahamkan keputusan tersebut adalah dalam rangka untuk memberi tekanan kepada komuniti Sunni di Iran yang telah berlaku sejak beberapa dekad.

Larangan ini telah disahkan oleh sumber-sumber Sunni di Teheran dan dikeluarkan selepas larangan mengerjakan solat Jumaat bagi kaum Sunni di bandar-bandar seperti Isfahan, Shiraz, Kerman, and Yazd.

Sheikh Abdul-Hamid Esmaeel Zahi, pihak berkuasa tertinggi bagi Kaum Sunni di Iran dan imam serta pendakwah di Masjid  Makki,, iaitu masjid Sunni terbesar di Iran yang terletak di Bandaraya Zahedan telah melahirkan rasa dukacita beliau di atas larangan tersebut. Beliau berkata “Kami berasa sangat dukacita kerana terdapat pihak yang melarang solat Jumaat dan mengenakan sekatan ke atasnya. Kumpulan ini mempunyai ideologi yang tergelincir dan mereka sebenarnya mempunyai pandangan yang sempit dan perasaan sensitiviti  yang melampau tentang masjid, sekolah dan dasar tanpa kekerasan puak Sunni.  

Sheikh Zahi mengkritik keputusan tersebut dengan menyatakan perlembagaan Iran tidak menghalang mana-mana kumpulan agama untuk mempraktikkan kepercayaan mereka tidak kira daripada mana-mana fahaman. Beliau menambah “Sepatutnya tiada larangan untuk solat, malah setiap individu perlu diajak untuk mengerjakan solat, dan kami berharap agar kaum Sunni dan Syiah mengambil inisiatif untuk melaksanakan kewajipan ini, iaitu rukun Islam yang kedua penting selepas kepercayaan terhadap Allah Yang Satu.

Sheikh Zahi menyifatkan halangan kerajaan terhadap pembinaan masjid, sekolah dan pusat ugama bagi komuniti Sunni Iran adalah bertentangan dengan prinsip-prinsip Kerajaan Islam Iran. Beliau menyatakan,”Terdapat perkampungan yang majoritinya didiami penduduk Sunni dan hanya terdapat sebuah keluarga Syiah, dan kerajaan telah membina sebuah masjid Syiah. Walau bagaimanapun masalahnya adalah mereka tidak membenarkan kami membina masjid atau sekolah ugama di bandar-bandar besar yang terdapat jumlah komuniti Sunni yang ramai”

Beliau selanjutnya berkata pegawai-pegawai yang menentang orang-orang Sunni solat di universiti tidak mempunyai agama dan tidak mempunyai pengetahuan tentang Allah. Sheikh Zahi berkata orang yang membenci untuk solat di belakang atau di samping seseorang daripada mazhab yang berbeza adalah menunjukkan tanda-tanda kejahilan melampau.

Sheikh Zahi berkata “ Saya mengajak pihak berkuasa dan Pemimpin Agung untuk membenarkan kebebasan untuk bersolat di mana saja, sekurang-kurangnya sebagaimana hak yang diberikan kepada kami dalam perlembagaan, iaitu kebebasan melaksanakan solat berjemaah dan solat Jumaat.

Beliau menegaskan bahawa kebimbangan yang paling penting untuk komuniti Sunni di Iran adalah isu perundangan, dengan berkata "kita tidak berasa terdapat masalah dengan hal perlembagaan, walau bagaimanapun terdapat kezaliman oleh beberapa puak pelampau di beberapa kawasan yang terdapat kumpulan minoriti orang-orang Sunni dan ini adalah sesuatu yang membimbangkan kita. "
Sheikh Zahi menambah, "wakil Pemimpin Agung telah mengharamkan komuniti Sunni menunaikan solat Jumaat di beberapa bandar Iran, walaupun masyarakat Sunni di bandar ini adalah minoriti namun mahu untuk melaksanakan solat Jumaat tetapi wakil Pemimpin Agung menolak dengan berkata “biarkan mereka mengikuti contoh saya [solat dengan cara Syiah] dalam solat mereka”.
 
Sheikh Zahi telah mengecam amalan negatif itu dan mempersoalkan apakah undang-undang negara atau Islam yang boleh mengambil hak-hak orang-orang Sunni Muslim untuk melaksanakan solat Jumaat di mana-mana kawasan di negara ini?

*Alihbahasa daripada laporan akhbar berbahasa Arab, Asharq Al-Awsat oleh Khaled Mahmoud di Kaherah pada 28 Apr 2010.

Sunday 14 October 2012

TANYAKAN KEPADA GOLONGAN KHAWARIJ, SYIAH, MUKTAZILAH, KULLABIYAH, AL-ASYA'IRAH, QADARIYAH, JABBARIYYAH DAN SELURUH PEMBAWA AJARAN SESAT






Kepada golongan Khawarij yang mencela pemerintah, golongan Syiah yang  bertuhankan Saidina Ali Radiyallahu anhu, golongan Ahbash yang mengatakan  Allah Subhanahu Wataala ada di mana-mana, golongan  Muktazilah, Kullabiyah dan al-Asya'irah yang menolak Sifat-sifat Allah Subhanahu Wataala, golongan Qadariyah yang menolak Qadar dan golongan Jabbariyyah yang menolak usaha manusia serta semua pembawa ajaran sesat dan menyimpang boleh dibantah dengan ucapan dengan ditanyakan kepada mereka:

1.         Adakah apa yang kamu turuti dan ajarkan ini adalah apa yang didakwahkan oleh Nabi Shallallahu 'alaihi wa sallam?

2. Adakah apa yang kamu turuti dan ajarkan ini adalah apa yang didakwahkan oleh Abu Bakar As-Siddiq Radiyallahu anhu?

3.         Adakah apa yang kamu turuti dan ajarkan ini adalah apa yang didakwahkan oleh Umar al-Khattab Radiyallahu anhu?

4.         Adakah apa yang kamu turuti dan ajarkan ini adalah apa yang didakwahkan oleh Uthman bin Affan Radiyallahu anhu?

5.         Adakah apa yang kamu turuti dan ajarkan ini adalah apa yang didakwahkan oleh Ali bin Abi Talib Radiyallahu anhu?

Sekiranya semua jawapannya TIDAK, atau pun sekurang-kurangnya dijawab dengan TIDAK TAHU. Maka tanyakan, jadi mengapakah itu yang kamu ikut dan dakwahkan kepada orang lain?

Kaedah ini digunapakai oleh Imam Ahmad Rahimahullah semasa berdebat dengan Ibnu Abu Dawood (tokoh Muktazilah),  Penasihat Agama Khalifah Muktasim.  Ibnu Abu Dawood telah diusir dan dibuang negeri kerana gagal menjawab soalan-soalan Imam Ahmad di atas. Kisah yang menarik. Semoga ada manfaatnya. InsyaAllah. Barakallahufeekum. Wallahu a'lam.

Saturday 6 October 2012

KAEDAH MENGANGKAT TANGAN KETIKA BERDOA



Mengangkat kedua tangan adalah salah satu sebab termakbulnya doa. Sebagaimana sabda Rasullullah Sallallahi Alaihi Wassalam:
إِنَّ رَبَّكُمْ حَيِيٌّ كَرِيمٌ يَسْتَحْيِي مِنْ عَبْدِهِ إِذَا رَفَعَ يَدَيْهِ إِلَيْهِ أَنْ يَرُدَّهُمَا صِفْرًا

"(Sesungguhnya Tuhan kamu pemalu lagi pemurah, Dia malu terhadap hambanya sekiranya si hamba itu mengangkatkan kedua tangannya lalu dikembalikan keduanya dengan tangan kosong)" (Riwayat Abu Daud dan Tirmizi. Disahihkan oleh Syeikh Al-Albani).
Walau bagaimanapun, mengangkat tangan ketika berdoa terdapat tiga keadaan:
Pertama: Terdapat nas menuntut supaya mengangkat kedua tangan.
Seperti:

1. Ketika doa meminta hujan (Istisqaa’) sebagaimana dalam hadis Bukhari dan Muslim.
2. Ketika doa Qunut Nazilah (ditimpa bala) atau doa Qunut dalam solat sama ada sebelum ruku’ atau selepas ruku’.
3. Ketika di Safa dan Marwah.
4. Ketika di Arafah.
Kedua: Terdapat nas supaya tidak mengangkat tangan.
Seperti:

1. Ketika khutbah Jumaat.
2. Ketika dalam solat dalam keadaan sujud atau selepas tasyahhud.
Dituntut supaya tidak mengangkat tangan walaupun tiada nas yang menyokongnya secara spesifik. Seperti amalan mengangkat tangan ketika berdoa di antara dua khutbah Jumaat dan selepas solat sebagaimana dipraktikkan di kebanyakan tempat. Sekiranya Rasullullah Sallallahi Alaihi Wassalam  atau para Sahabat Radhiallahuanhu Ajmain melaksanakan amalan ini pasti telah dinukilkan kepada kita.
Ketiga: Tidak ada nas yang menuntut supaya mengangkat tangan atau menafikannya.
Dalam keadaan ini terpulang sama ada untuk mengangkat atau tidak. Tetapi afdalnya adalah mengangkat tangan berdasarkan hadis Abu Daud dan Tirmizi di atas.
Tentang mengangkat tangan dengan tinggi melebihi wajah; telah sabit ketika meminta hujan Baginda mengangkat kedua tangannya sampai nampak kedua ketiak Baginda. Sebagaimana hadis:
وَعَنْ أَنَسٍ قَالَ: كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا يَرْفَعُ يَدَيْهِ فِي شَيْءٍ مِنْ دُعَائِهِ إِلَّا فِي الِاسْتِسْقَاءِ فَإِنَّهُ يَرْفَعُ حَتَّى يرى بَيَاض إبطَيْهِ

"(Daripada Anas, bahawasanya Nabi tidak mengangkat tangannya dalam doanya kecuali ketika meminta hujan di mana Baginda mengangkat keduanya sehingga nampak keputihan kedua ketiaknya)" (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Syeikh Uthaimin melihat bahawa lebih tinggi harapan seseorang itu dalam doanya maka lebih tinggilah dia mengangkat kedua tangannya.

Rujukan: (Syarah Hadis 40 Karangan Imam Al-Nawawi oleh Syeikh Uthaimin)

Wallau a’lam.

Penerangan oleh Ustaz Idris bin Sulaiman