Saturday 7 January 2012

UMMATUN WASATA – DARI PERSPEKTIF AQIDAH – BAHAGIAN AKHIR


Posting yang lepas membandingkan aqidah Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah dengan Jahmiah dan Musyabbihah dalam soal sifat Allah Subhanahu wa Ta’ala. Manakala perbandingan dalam perkara  usaha dan natijah sesuatu perbuatan umat dengan Jabariah dan Qadariyah.

Murjiah mengatakan iman seseorang itu tidak naik atau tidak turun, iman itu mutlak dalam hati sahaja tidak ada kena mengena dengan amalan. Kemaksiatan yang dilakukan tidak memburukkan iman, justeru mereka menolak syariat seperti pakaian menutup aurat kerana bagi mereka iman dalam hati lebih penting. Iman Firaun dikatakan sama dengan iman malaikat. Manakala bagi aqidah Khawarij pula meletak pelaku dosa-dosa besar membuat seseorang itu menjadi kafir. Mereka mencari kesalahan pemerintah yang sah (Waliyul Umur) dan mengajak orang ramai untuk menyerangnya kemudian mencela pemerintah dan mengkafirkan mereka. Dalam aqidah Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah terdapat dua konsep iaitu kafir dan kufur di mana kafir mempunyai kaitan dengan hati (iktiqadi) manakala kufur melibatkan amali. Kufur tidak menyebabkan seseorang itu terkeluar imannya. Kemaksiatan seperti perbuatan zina, rasuah, minum arak, menghukum tidak menggunakan syariat itu adalah perbuatan kufur. Seseorang itu hanya terjerumus ke arah kekafiran bila mana beriktiqad sesuatu yang haram itu dikatakan halal dan dia faham dan dia bermaksud begitu.

Terakhir adalah Syiah  yang mendakwa Saidina Abu Bakar dan Umar al-Khattab serta ramai sahabat Radhiallahu Ajmain sebagai kafir. Sekaligus secara liciknya mereka menolak al-Quran dan hadis yang dihimpun atau diriwayat oleh Saidina Abu Bakar dan Umar al-Khattab Radhiallahu anhuma. Malah mereka mempunyai versi al-Quran yang dikenali sebagai mushaf Fatimah dan versi hadis yang dikenali sebagai al–Kulaini. Manakala Khawarij pula mengambil ayat-ayat al-Quran secara literal seperti “...dan barangsiapa yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir” [al-Ma’idah (5):44]. “...dan barangsiapa yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang zalim” [al-Ma’idah (5):45]. “...dan barangsiapa yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang fasik” [al-Ma’idah (5):47]. Justeru mereka ghuluw dan mendahului batas-batas yang ditetapkan oleh agama. Dalam hal ini, Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah mengambil al-Quran dan hadis sebagai risalah tauhid yang dibawa oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam serta mengamalkan mengikut kefahaman dan praktis oleh para sahabat Radhiallahu Ajmain yang dikenali sebagai golongan Salafus Soleh.

Mengambilkira fakta-fakta yang diketengahkan menampakkan bahawa aqidah Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah adalah sederhana dan berada  di tengah-tengah di antara dua aqidah yang ekstrim. Maka inilah manhaj yang benar yang mengambil Islam secara menyeluruh di mana manhaj ini mendahulukan wahyu berbanding akal. Taufik dan hidayah dari Allah Subhanahu wa Ta’ala membolehkan mereka mengambil perintah dan pedoman  dari al-Quran tanpa tahrif (ubah), tanpa ilhad (tolak), tanpa takyif (gambarkan rupa bentuk), tanpa tamthil (umpama makna). Mereka juga menjalani kehidupan di dunia ini berdasarkan amalan sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan golongan Salafus Soleh. Inilah ciri-ciri al-Firqatun Najiyah dan merupakan satu-satunya golongan yang selamat seperti yang dijelaskan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Wallahu a’lam.