Friday 23 March 2012

BLOGGER, DUNIA SIBER DAN MUFLIS AKHIRAT

Ledakan kecanggihan teknologi maklumat pada hari ini menyaksikan penyebaran maklumat tanpa sempadan dan mampu merentasi ke seluruh pelusuk benua secara pantas serta memungkinkan segala berita dikongsi oleh lebih ramai orang. Pelbagai bentuk maklumat yang disebarkan melalui media cetak dan media elektronik akan memberi impak yang positif kepada masyarakat sekiranya memberi manfaat dan begitulah sebaliknya. Keghairahan masyarakat berkomunikasi di alam maya menyaksikan percambahan laman-laman sosial ibarat cendawan tumbuh selepas hujan. Ramai yang ingin berbicara dan mahu dikenali sebagai penulis, wartawan, blogger, pengkritik sosial atau pembela masyarakat atas alasan hak-hak demokrasi. Lazimnya isu-isu sosial adalah menjadi mauduk pembicaraan di kalangan mereka yang merupakan kumpulan utama pengguna laman sosial. Kebebasan penyebaran maklumat di hujung jari yang telah disalahguna menyebabkan penyebaran maklumat secara tidak beretika tanpa mempedulikan dosa dan pahala. Medan laman sosial menjadi ruang penyebaran fitnah seluas-luasnya terutama dalam pembicaraan tentang politik. Bahasa kesat, lucah, maki hamun tidak lekang dalam gaya penulisan mereka. Tidak sedikit daripada mereka yang mendapat upah untuk menyelongkar kisah peribadi seseorang individu, membuka aib sesama teman seagama dan menyerang peribadi seteru mereka di khalayak ramai. Mereka hilang asas pertimbangan kerana menuruti hawa nafsu  dan bagi mendapat sedikit habuan dunia.

Sabda Rasullullah Sallallahi Alaihi Wassalam: “Tahukah kamu siapakah itu orang yang muflis?” Para sahabat menjawab, “Orang yang muflis ialah orang yang tidak ada dirham atau tidak ada harta benda”. Sabda Baginda: “Sesungguhnya yang muflis daripada umatku, dia akan datang pada hari Kiamat dengan solat, puasa dan zakat. Dan dia datang dengan dosanya mengutuk sifulan, dan dosa dia menuduh sifulan berzina, dan dosa dia telah makan harta sifulan, dan dia telah menumpahkan darah sifulan, dan dia telah memukul sifulan. Maka diberikan kepada fulan-fulan yang dia zalimi daripada kebaikannya. Jika habis kebaikannya sebelum diselesaikan segala kezalimannya, maka diambil daripada kesalahan-kesalahan orang yang dizaliminya dan dicampakkan ke atasnya. Kemudian dia dicampakkan ke neraka” (Riwayat Muslim, No: 2581)

Dalam blog ada kutuk, kutuk rapat tak pernah lihat...
Dalam blog ada fitnah, fitnah liwat tak pernah lihat...                                           
Dalam blog tuduh bunuh, tuduh bunuh tak pernah lihat... 
Dalam blog kata rasuah, kata  rasuah tak pernah lihat....
Dalam blog macam-macam ada...
Dalam blog macam-macam ada yang bisa menjadikan blogger muflis akhirat.

Sesungguhnya pembentukan sebuah blog bukanlah satu lesen untuk menyebarkan fitnah dan gossip. Takutilah muflis akhirat dek kerana pena yang tidak bermata.