Saturday 19 January 2013

PAKAIAN DAN PENAMPILAN LELAKI MUSLIM MENGIKUT SUNNAH


Rata-rata masyarakat Islam memahami keperluan untuk berpakaian secara menutup aurat adalah wajib ke atas Muslimin dan Muslimah. Syarat minimum pakaian menutup aurat bagi seorang lelaki Islam adalah secara menutup antara dua lutut hingga ke pusat. Manakala aurat wanita adalah seluruh anggota tubuhnya kecuali wajah dan dua telapak tangannya. Leher dan rambutnya adalah aurat di hadapan lelaki ajnabi (bukan mahram) walaupun sehelai. Pendek kata, dari hujung rambut sampai hujung kaki kecuali wajah dan dua telapak tangan adalah aurat yang wajib ditutup.
Terdapat 3 perkara yang berkaitan dengan pakaian dan penampilan yang menjadi petunjuk  mazahir  (tingkah laku luaran) keimanan seorang lelaki Islam  iaitu:
a.         Pakaian.        Tanggapan umum apabila seseorang lelaki Islam berseluar panjang dan memakai baju berlengan panjang, mereka telah memenuhi tuntutan syarak.  Namun begitu tanggapan ini adalah salah sekiranya kaedah berpakaian tersebut menyelisihi sunnah dan anjuran Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam.

1)    Pakaian yang dipakai tidak meniru pakaian yang ada kaitan dengan acara keagamaan orang bukan Islam seperti jubah paderi Kristian, jubah sami Buddha. Sikap berbangga dan ingin meniru serta mengagongkan mereka.
2)     Pakaian yang dipakai hendaklah longgar, tidak ketat atau menampakkan susuk tubuh badan.
                  3)    Pakaian yang dipakai tidak nipis dan  jarang sehingga menampakkan aurat.


            b. Seluar/Kain pelikat/Jubah Tidak Isbal. (Isbal bermaksud menurunkan atau   
            memanjangkan pakaian hingga di bawah buku lali) 

1)   Larangan tidak boleh isbal adalah sebagaimana  sabda Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam “Dan tinggikanlah kainmu hingga separuh betis, jika engkau enggan maka hingga mata kaki. Dan jauhilah olehmu memanjangkan kain di bawah mata kaki, kerana ia termasuk kesombongan, dan sungguh Allah tidak menyukai kesombongan.” (HR. Abu Daud dan At-Tirmidzi dengan sanad shahih , At-Tirmidzi berkata, hadits ini hasan shahih) dan “Kain yang memanjang hingga di bawah mata kaki tempatnya di Neraka.” (HR Bukhari).
c. Panjangkan Janggut dan Pendekkan Misai
1)   Hukum menyimpan janggut adalah wajib ke atas lelaki Muslim sebagaimana sabda Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam “Selisihilah orang-orang Musyrikin, panjangkan janggut dan pendekkan misai” (HR Bukhari dan Muslim). “Pendekkan misai dan panjangkan janggut” (HR Bukhari). “Pendekkan misai dan panjangkan janggut, Selisihilah golongan Majusi” (HR Muslim). “Panjangkan janggut dan pendekkan misai dan tukar warna uban kamu. Dan jangan kamu menyerupai orang-orang Yahudi dan Nasarani ” (HR Ahmad)
2)   Justeru berdasarkan hadis-hadis di atas dapat disimpulkan bahawa janggut tidak boleh dicukur. Bahagian yang dikira kawasan janggut bermula dari pelipis telinga, rahang dan dagu yang ditumbuhi anak rambut. Ulama menetapkan janggut perlu dipanjangkan sehingga mencapai satu genggaman tangan di bawah dagu manakala di kawasan rahang dan pelipis telinga boleh dirapikan sedikit untuk mengelak kusut masai. Manakala misai juga tidak boleh dicukur tetapi boleh digunting, dirapi dan dipendekkan.
3)   Kesemua 4 mazhab telah sepakat menyatakan bahawa janggut tidak boleh dicukur.
 Inilah di antara perkara-perkara yang mempamerkan mazahir orang Islam dan inilah juga yang disifatkan oleh Sheikh Muhammad Jamil Zainu sebagai golongan yang selamat senang menghidupkan sunnah-sunnah Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam dalam ibadah, perilaku dan dalam segenap kehidupan. Wallahu a’lam.

Monday 14 January 2013

JANJI-JANJI NERAKA





Orang bukan Islam tidak percaya bahawa (1) Allah Subhanahu Wataala adalah Tuhan yang mencipta alam semesta dan seluruh isi alam. (2) Nabi Muhammad Sallallahi Alaihi Wassalam adalah pesuruh Allah dan nabi akhir zaman. (3) Manusia dijadikan untuk menyembah Allah Subhanahu Wataala dan diperintahkan supaya taat kepada suruhan dan laranganNya dengan para rasul memberi panduan.  (4) Manusia akan menghuni dunia ini buat sementara waktu sehinggalah berlaku kehancuran apabila tibanya hari Kiamat. (5) Mereka kemudiannya akan diadili di mana balasan baik adalah syurga manakala balasan jahat adalah neraka. (6) Syaitan, iblis dan jin adalah makhluk Allah Subhanahu Wataala yang akan sentiasa menggoda dan mengajak umat manusia di dunia ini untuk mengingkari Allah Subhanahu Wataala sehingga hari Kiamat. (7) Dalam menjalani kehidupan di dunia ini, terlalu banyak rahsia dan perkara-perkara ghaib dalam kekuasaan Allah Subhanahu Wataala yang tidak diketahui umat manusia. 
Setelah menguasai media, kewangan dan politik dunia, orang bukan Islam berusaha untuk menghancurkan agama Islam. Mereka melabelkan agama Islam sebagai jumud, zalim dan anti kebebasan. Lantaran itu mereka melakukan kerja-kerja menghina agama Islam, orientalis Barat mengkaji agama Islam untuk memesongkan ajaran Islam, melancarkan dakyah terhadap umat Islam supaya meninggalkan ajaran Islam yang ada sangkut paut dengan aspek kekeluargaan, ekonomi, pelajaran dan politik. Mereka memaksa orang Islam mengikut gaya hidup mereka. Mereka berselindung di sebalik slogan kebebasan, kesamarataan, keadilan dan persamaan secara menggunakan akal tanpa batasan. Lihatlah institusi keluarga, sosial, politik, ekonomi yang telah mengalami keruntuhan secara mendadak sejak 200 tahun yang lepas. Dari sudut cara berpakaian, mereka berjaya menelanjangkan ramai wanita apabila memperkenalkan fesyen yang mendedahkan tangan, payu dara, peha dan kaki. Mana pergi kimono Jepun, Cheongsam China, hanbok Korea, saree India, baju kurung Melayu, jubah Afrika hatta over dress dan kyrtle perempuan British? Pada hari ini kita dapati ramai wanita dari Timur ke Barat memakai baju jarang, seluar pendek, T-Shirt singkat walaupun mereka berada di Alaska. Ini baru satu contoh!
Apa yang pasti agama Islam adalah satu-satunya agama yang dibenci, diasak dan diserang dari segenap sudut oleh golongan bukan Islam. Tidak sedikit umat Islam yang telah masuk perangkap ini secara langsung atau tidak langsung dan masing-masing akan dipertanggungjawabkan apabila tiba masanya. Orang bukan Islam gagal memahami bahawa anutan agama Islam adalah berteraskan wahyu Allah Subhanahu Wataala manakala ajaran agama lain adalah berdasarkan akal, eksperimen dan pengalaman pembawa ajaran-ajaran tersebut.
Merekalah yang memulakan konflik, persengketaan, peperangan dan porak peranda dalam sejarah peradaban manusia. Mereka memberikan faktor alasan ekonomi, politik, sosial atau perebutan tanah tetapi yang sebenarnya adalah atas perbezaan agama. Ianya bermula sejak manusia dijadikan di mana perbezaan di antara nilai baik dan nilai jahat dalam kehidupan akan saling bertentangan dari zaman ke zaman sehinggalah hari Kiamat. Mereka meneruskan kesinambungan gerak kerja iblis untuk menyesat dan menggoda anak Adam sehingga hari Kiamat.
“Untukmu agamamu, dan untukku agamaku” Al-Kafiirun, 109:6