Tuesday 12 April 2011

Halalkah Revolusi dan Demonstrasi? – Bahagian 1


Berlatarbelakang kebangkitan rakyat di Tunisia, Mesir, Libya pada awal  2011 yang telahpun menular ke Yaman dan Bahrain serta keadaan yang tegang di Syria dilihat sebagai pertembungan di antara rakyat menentang pemerintah. Simboliknya adalah kemiskinan menentang kekayaan, keadilan menentang kezaliman, demokrasi menentang diktator. Persoalannya adakah begitu hakikatnya? Di satu sudut akal pemikiran memang ada kebenarannya, bak kata sudah terang lagi bersuluh. Ditanyakan kepada anak-anak sekolah TADIKA sekalipun, mereka sudah pasti menjawab bahawa yang zalim itu jahat dan orang zalim masuk ke neraka. Malah kita mengatakan sia-sia sahaja beragama Islam tetapi merekalah pemerintah yang zalim, mengamalkan kronisme, korup, mengamalkan budaya hedonistik dan berprinsipkan matlamat menghalalkan cara serta namakan apa saja bentuk kemaksiatan dan kejahatan, senarai nama merekalah berada di senarai paling atas. Lalu wujudnya mereka yang berusaha menubuhkan perkumpulan, gerakan dan pertubuhan untuk menentang dan menjatuhkan pemerintah yang dikatakan zalim. Mereka melaungkan kepada rakyat supaya turut serta menggulingkan kerajaan dengan melancarkan revolusi atau reformasi. Andaikata gerakan tersebut berjaya maka akan tertegaklah sebuah pemerintahan yang baru sehinggalah mereka pula ditewaskan di dalam sama ada dalam sistem pilihanraya atau digulingkan secara kekerasan oleh penentang mereka. Justeru inilah yang berlaku dalam sistem politik ciptaan manusia yang berkisar dalam perkataan demokrasi, revolusi, reformasi, monarki dan label-label yang bersamaan dengannya. Sejarah dunia dapat melihat Revolusi Inggeris, Perancis, Russia, Perang Dunia Pertama dan Kedua, Perang Dingin, Konflik Asia Barat dan terkini gerakan penentangan di beberapa negara Arab.

Dalam mengupas perkara ini, saya ingin menyoroti hakikat sebenar sistem politik dan kefahaman politik yang kita anuti sekarang. Dalam bahasa yang mudah, politik adalah bagaimana hendak menjalani kehidupan dengan orang lain di dunia ini. Rata-rata negara-negara di dunia sama ada di negara-negara Islam atau bukan Islam mengamalkan politik sekular sama ada dalam wadah demokrasi, sosialis, komunis atau diktator. Apa yang pasti kesemua penganut sistem-sistem ini mendakwa bahawa sistem merekalah yang terbaik terutama pada masa ini di mana dunia didominasi oleh sistem demokrasi yang diwarisi daripada sistem Greek kuno. Namun begitu manusia tidak sunyi daripada peperangan dan tidak akan terhenti daripada pertelingkahan walau apa sistem yang dianuti sekalipun.

Sebagai umat Islam, untuk memahami perkara ini dengan lebih mendalam kita perlu merujuk dan memahami perkara-perkara asas dalam kehidupan yakni kenapa manusia dijadikan? Kenapa manusia dipilih sebagai khalifah di bumi? Apakah hikmah Nabi Adam A.S diturunkan ke bumi? Kenapa rasul dan nabi diutuskan bagi setiap umat? Apakah  tekad Iblis untuk menyesatkan anak Adam? Apakah bentuk ujian yang terpaksa manusia hadapi semasa berada di alam nyata? Apakah hubungan yang signifikan di antara alam nyata dan alam akhirat?  Apakah kita lupa dua peninggalan Rasullullah Sallallahi Alaihi Wassalam iaitu alQuran dan asSunnah dapat menghindarkan kita daripada kesesatan?

No comments:

Post a Comment