Saturday 7 May 2011

HALALKAH REVOLUSI DAN DEMONSTRASI MENENTANG PEMERINTAH? BHG 3

Kembali kepada mauduk artikel ini, kita wajar memahami bahawa politik juga adalah sebahagian daripada segmen Islam dan wajib dilaksanakan berdasarkan syariat Islam. Justeru  Allah Subhanahu Wataala telah berfirman dan beberapa hadis Rasullullah Sallallahi Alaihi Wassalam yang menerangkan hubungan di antara pemerintah dengan rakyat dalam negara Islam;

1)          Firman Allah Subhanahu Wataala “Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul dan kepada Ulil-Amri (orang yang berkuasa) daripada kalangan kamu. Kemudian jika kamu berselisih pendapat dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (al-Quran) dan (sunnah) RasulNya – jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih baik pula akibatnya” an-Nisa’: 59

2)         Ummu Salamah berkata, bahawa Rasulullah Sallallahi Alaihi Wassalam bersabda:

“Akan ada sepeninggalanku nanti pemimpin (yang) kalian mengenalnya dan mengingkari (kejelekannya), maka barangsiapa membencinya (bererti) dia telah berlepas diri, dan barangsiapa mengingkarinya (bererti,) dia telah selamat. Akan tetapi barangsiapa yang meredhainya kejahatannya, akan mengikutinya”

Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, Apakah tidak kita perangi saja mereka?” Baginda menjawab: “Jangan, selama mereka masih menegakkan solat.” (Hadis Riwayat Muslim, 1854)

3)         “Sebaik-baik pemerintah kamu adalah pemerintah yang kamu sayangi mereka, dan mereka menyayangi kamu. Kamu mendoakan ke atas mereka, dan mereka mendoakan ke atas kamu. (Adapun) Sejahat-jahat pemerintah kamu adalah mereka yang kamu benci dan mereka pula benci kepada kamu, kamu melaknat mereka dan mereka melaknat kamu”. Berkata (Auf), kami bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah boleh kami menyerang mereka dengan pedang?” Nabi menjawab : “Tidak boleh, selama mereka menunaikan solat.” (Sahih Muslim no.1482 Jilid 3 )

4)         “Nanti setelah aku akan ada seorang pemimpin yang tidak mendapat petunjukku (dalam ilmu, pent) dan tidak pula melaksanakan sunnahku (dalam amal, pent). Nanti akan ada di tengah-tengah mereka orang-orang yang hatinya adalah hati setan, namun jasadnya adalah jasad manusia.

Aku berkata, “Wahai Rasulullah, apa yang harus aku lakukan jika aku menemui zaman seperti itu?”

Baginda bersabda, ”Dengarlah dan ta’at kepada pemimpinmu, walaupun mereka menyiksa punggungmu dan mengambil hartamu. Tetaplah mendengar dan ta’at kepada mereka.” (HR. Muslim no. 1847. Lihat penjelasan hadits ini dalam Muroqotul Mafatih Syarh Misykah Al Mashobih, 15/343, Maktabah Syamilah)

5)         Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam menyeru kami (agar patuh dan taat), maka kami pun membaiatnya, dan baginda meminta dari kami adalah: Agar kami membaiatnya atas dasar mendengar dan taat dalam suka maupun duka, dalam keadaan susah ataupun senang dan dalam keadaan tidak kita sukai atau kita suka serta supaya kita tidak merampas kekuasaan dari ahlinya. Kemudian baginda bersabda: “Kecuali kamu melihat kekafiran yang telah nyata oleh kamu dengan pembuktian dari Allah Taala (dalil dari al-Quran yang membuktikan kekafirannya) (Syarah Muslim. Kitabul Imarah, bab Wujubu at-Taah al-Umara fi Ghairi Masiyah wa-Tahrimuha fi al-Masiyah. Oleh Imam Nawawi. Hadis Riwayat Muslim)

6)         “Ketahuilah! Sesiapa yang diperintah oleh seorang pemimpin kemudian dia mendapati pemimpinnya bermaksiat kepada Allah, maka hendaklah dia membenci kemaksiatannya kepada Allah (yang dikerjakannya) tetapi tidak dihalalkan melepaskan tangan dari mentaatinya (tidak boleh membenci dan tidak boleh memberontak terhadapnya)” (Hadis Riwayat Muslim)

7)         “Dengar dan patuh walaupun kamu diperintah oleh seorang hamba Habsyi yang kepalanya seperti kismis” (Hadis Riwayat Bukhari)

Ayat al-Quran dan hadis-hadis di atas menerangkan kewajipan untuk memberi ketaatan kepada pemerintah dan jauh sekali untuk melancarkan revolusi, memberontak atau reformasi untuk mengguling pemerintahan mereka. Namun hal ini sukar sangat dimengertikan sekiranya manusia menggunakan akal semata-mata. Ini disebabkan akal akan menolak sama sekali kerana akan berhujah di atas premis keadilan dan mempertahankan hak. Lalu apakah akan terjadi seterusnya? Adakah patut kita menolak ayat al-Quran dan hadis-hadis sahih ini? Adakah kita akan mendahulukan akal berbanding dengan wahyu dan sunnah? Jawapannya tidak, kita tidak boleh mendahulukan akal dan wajib mematuhi sabda Rasullullah Sallallahi Alaihi Wassalam. Bila berhadapan dengan pemerintah yang zalim, JIKA BERUPAYA kita hendaklah memberi nasihat dengan lemah lembut, dengan uslub yang bijaksana. PALING TIDAK sekiranya nasihat atau saranan kita tidak diterima kita maka hendaklah membenci perbuatan mungkar mereka itu walaupun itulah tanda selemah-lemah iman. Setelah berbuat demikian gugurlah kewajipan kita dalam hal ini dan selebihnya adalah kepunyaan dan urusan Allah Subhanahu Wataala untuk mengadili mereka.

Soal kezaliman, kemaksiatan dan kemungkaran mereka bakal diadili oleh Allah Subhanahu Wataala. Bukankah pernah dikhabarkan kepada kita bahawa sultan, raja, pemerintah dan penguasa yang zalim akan dicampakkan ke dalam neraka yang paling bawah. Namun akibat kedangkalan kita, akal masih tidak boleh terima dan hati terus memberontak serta mempersoalkan mengapa perlu dipatuhi pemerintah yang zalim di mana semangat penentangan akan berterusan. Maka kita akan terus mengatakan pemerintah itu zalim, korup, nepotisme, sahabat Zionis dan segala macam cercaan padahal kesemua itu adalah dalam pengetahuan Allah Subhanahu Wataala. Namun harus kita ingat soal kemungkaran pemerintah adalah satu hal dan itu menjadi urusan Allah Subhanahu Wataala manakala kewajipan untuk taat kepada pemerintah adalah satu hal yang lain di mana kita hendaklah memahami keperluan untuk beriman dengan al-Quran dan as-Sunnah. Kita bukanlah menyokong kemungkaran dan kemaksiatan mereka dan jauh sekali mempertahankan mereka tetapi kita sekadar dengar dan taat  serta beriman dengan perintah al-Quran dan hadis-hadis tadi iaitu tidak boleh menentang pemerintah. Justeru biarlah hanya Allah Subhanahu Wataala yang berurusan dengan pemerintah berkenaan dan mengapa harus kita mengingkari al-Quran dan hadis-hadis berhubung memberi ketaatan kepada pemerintah? Apakah kita mempunyai alasan yang cukup untuk tidak beriman dengan al-Quran dan hadis-hadis ini? Ketahuilah kita bahawa semua ini adalah ujian dan qada’ Allah Subhanahu Wataala yang mana sesuai dengan kebesaranNya. Selaku pencipta dan pemilik alam semesta ini, Dialah Yang Maha Mengetahui akan sesuatu yang dikehendakiNya. Cuma kita yang tidak tahu hikmahnya dan masih tidak mahu mengerti sunnatullah dan paling malang kita jadi manusia yang melanggar al-Quran dan as-Sunnah menyebabkan kita masuk ke dalam perangkap iblis laknatullah.

No comments:

Post a Comment