Sunday 18 December 2011

UMMATUN WASATA – DARI PERSPEKTIF AQIDAH – BAHAGIAN 1

Metodologi dan pendekatan dalam Islam adalah penting lebih-lebih lagi dalam aspek yang menyentuh akar tunjang agama iaitu aqidah. Ianya adalah kritikal sama ada kita memiliki aqidah yang benar sebagaimana manhaj Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah yang berteraskan al-Quran dan as-Sunnah serta sebagaimana yang kefahaman dan dipraktikkan oleh para sahabat radhiallahu ajmain.

Sebagai Ummatun Wasata (umat seimbang) kita diberi tanggungjawab untuk beriman kepada Allah dan RasulNya dengan sesuatu yang unik dan suci secara memaparkan mesej aqidah hakiki Islam yang berpaksi dengan Aqidah Ummatun Wasata (Umat yang mempunyai pegangan aqidah pertengahan). Inilah manhajnya dan kita tidak boleh kehilangan pendekatan dalam memahami aqidah yang benar ini. Ini penting kerana perkhabaran ini telah diberitahu oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam hampir 14 kurun yang lalu;   

Dari Abi Hurairah radhiallahuanhu bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, "Yahudi terpecah menjadi 71 atau 72 golongan, nasrani terpecah menjadi 71 atau 72 golongan. Dan umatku terpecah menjadi 73 golongan. (HR Abu Daud, Tirmizi, Ibnu Majah, Ibu Hibban dan Al-Hakim).

Sesungguhnya Bani Israil terpecah menjadi 72 millah (agama), sementara umatku berpecah menjadi 73 millah (agama). Semuanya di dalam neraka, kecuali satu millah." Sahabat bertanya, "Millah apa itu?" Baginda menjawab, "Yang aku berada di atasnya dan juga para sahabatku." (HR At-Tirimizi, Abu Daud, Ibnu Majah, Al-Baihaqi dan Al-Hakim)

Dua kelompok manusia yang diciptakan oleh Allah Subhanahu Wataala iaitu al-Umatul-Islamiyah (Umat Islam) dan al-Umatul-Kafiraah (Umat yang tidak beriman) seperti 
Yahudi, Nasrani, Sikh, Hindu, Buddha; dengan kata lain, mereka semua tidak beriman kepada Allah
Subhanahu Wataala. Ini termasuklah fahaman-fahaman yang menyimpang seperti Humanisme, Scientology dan isme-isme yang tidak ada usul yang jelas kekufuran golongan Al-Umatul-Kafiraah terhadap Allah Subhanahu Wataala.

Berdasarkan hadis di atas, dapat disimpulkan bahawa umat Islam terbahagi kepada dua iaitu Ummatu Muhammad (Umat Muhammad yang juga dikenali sebagai al-Firqatun Najiyah, atau golongan yang selamat) dan Ummatu Ahlul Qiblah (Umat Qiblah, dari tujuh puluh dua golongan yang menyimpang - juga dikenal sebagai al-Firqatul Haarikah). 72 golongan dari umat Islam akan masuk neraka (Hanya Allah
Subhanahu Wataala yang mengetahui tempoh masanya) dan satu golongan akan masuk syurga. Oleh itu sekiranya kita ingin selamat dari api neraka, maka kita harus mencari pengetahuan tentang golongan yang selamat dan mempelajari serta mengamalkan ciri-ciri al-Firqatun Najiyah.


Dalam masa yang sama kita juga hendaklah mengenali golongan al-Firqatul Haarikah dan ciri-ciri mereka. Nama-nama besar dalam golongan ini adalah seperti Jahmiyah, Jabariyah, Qadariyah, Muktazilah, Khawarij dan Syiah.  Mereka merupakan duri dalam daging bagi umat Islam sejak zaman awal kemunculan Islam lagi. Ini disebabkan pakej Islam yang dibawa oleh mereka menyelisihi ajaran Islam yang syumul. Malah mereka tidak segan silu mendakwa bahawa merekalah merupakan golongan Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah walaupun ada di kalangan mereka yang mengambil nas-nas al-Quran dan as-Sunnah secara terpilih dan tidak sebagaimana kefahaman dan praktik oleh para sahabat radhiallahu ajmain. Justeru, harus diingat bahawa Islam ini ada pemiliknya iaitu Allah Subhanahu Wataala, Tuhan Rabbul Jalil. Dialah yang akan menghancurkan perosak-perosak agama dengan azab siksaan yang amat pedih. Oleh itu maklumat lanjut mengenai Jahmiyah, Jabariyah, Qadariyah, Muktazilah, Khawarij dan Syiah akan diterangkan dalam posting yang akan datang. Wallahu a’lam.

No comments:

Post a Comment