Saturday 31 December 2011

UMMATUN WASATA – DARI PERSPEKTIF AQIDAH – BAHAGIAN 2

Aqidah Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah yang berteraskan al-Quran dan as-Sunnah serta sebagaimana yang kefahaman dan dipraktikkan oleh para sahabat Radhiallahu Ajmain dikatakan sebagai Aqidah Ummatun Wasata (Umat yang mempunyai pegangan aqidah pertengahan) kerana keberadaannya jelas tidak ghuluw dengan condong ke kanan atau ke kiri. Perbandingan aqidah golongan al-Firqatul Haarikah seperti Jahmiyah, Jabariyah, Qadariyah, Murjiah, Khawarij dan Syiah dengan Aqidah Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah diperincikan seperti berikut:

Aqidah Jahmiyyah mengatakan bahawa Allah Subhanahu wa Ta’ala tidak bertempat dan mengingkari bahwa Allah di atas ‘Arsy dan menolak semua sifat Allah. Aqidah Mujassimah/Musyabbihah pula mengatakan bahawa sifat Allah Subhanahu wa Ta’ala itu menyerupai sifat seperti makhlukNya. Atas dasar ini, mereka mendakwa bahawa Allah Subhanahu wa Ta’ala itu mempunyai tangan, kaki, muka dan sebagainya lagi berdasarkan kefahaman mereka terhadap nas-nas mutasyabihat berbentuk sifat. Hal sedemikian dapat dilihat bagi kaum Nasrani yang menjadikan Nabi Isa Alaihissalam sebagai Tuhan dan kaum Yahudi menganggap Nabi Uzair Alaihissalam sebagai anak Tuhan (Lihat Surah at-Taubah: 30). Sedangkan sifat-sifat Allah Subhanahu wa Ta’ala adalah merupakan ajaran para Rasul di mana dalam aqidah Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah, kita beriman dengan khabar ghaibiyyah yang dibawa oleh para Pesuruh Allah Subhanahu wa Ta’ala. Secara ringkasnya kita tidak tahu erti sebenar sifat itu, serahkan kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala, Maha Suci Allah Subhanahu wa Ta’ala daripada serupa dengan makhluk. Imam Malik pernah ditanya “Bagaimanakah istawa Allah?”. Beliau menjawab, “al-Istiwa’ ghair Majhul (ertinya jelas penyebutan “istawa” dalam al-Qur’an), Wa al-Kayf Ghair Ma’qul (ertinya; istawa tidak boleh dimaknai dengan sifat-sifat benda), beriman dengan adanya “istawa” adalah kewajiban, menanyakan bagaimana istawa (Kayf istawa?) adalah bid’ah”.
Jabariah ialah nama golongan yang berfahaman bahawa setiap perbuatan itu datang daripada Allah Subhanahu wa Ta’ala. Hamba itu tidak berkuasa, tidak berkehendak dan tidak ada ikhtiar baginya sebaliknya menganggap yang sebenarnya melakukan perbuatan hamba itu ialah Allah. Mereka melampaui batas dengan menafikan adanya kemampuan bagi seseorang hamba dan menafikan ikhtiar. Mempunyai kaitan dengan Wahdatul Wujud, iaitu makhluk dan Tuhan boleh bersatu. Mereka mengambil ayat al-Insan:30 sebagai dalil dengan intisari “Tetapi kamu tidak mampu menempuh jalan itu, kecuali dikehendaki Allah”. Qadariyah adalah suatu aliran yang percaya bahwa segala tindakan manusia tidak dicampuri oleh Tuhan. Aliran ini berpendapat bahawa setiap manusia adalah pencipta bagi segala perbuatannya; mereka dapat berbuat sesuatu atau meninggalkannya atas kehendaknya sendiri. Mereka mengambil ayat ar-Ra’d:11 sebagai dalil dengan intisari “Allah tidak akan mengubah keadaan suatu kaum sebelum mereka mengubah diri mereka sendiri”. Bagi aqidah Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah, kedua-dua ayat al-Quran tersebut digunapakai kerana manusia diberi ikhtiar tetapi keinginan dan kemampuan ditetapkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala. Seperti mereka berhajat hendak pergi ke suatu tempat di mana keinginan tersebut diilhamkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala. Manakala kemampuan untuk sampai atau tidak adalah ketentuan Allah Subhanahu wa Ta’ala juga. Begitu juga mereka tidak diberi pilihan terhadap perkara yang telah diqadarkan seperti hayat umur atau dilahirkan sebagai bangsa dan keturunan tertentu.  Secara ringkasnya mereka boleh memilih usaha tetapi natijah tidak boleh ditetapkan oleh mereka. Justeru aqidah ini adalah di tengah-tengah yakni bermula dengan ikhtiar/usaha manusia manakala natijah/ketentuan adalah berdasarkan qada’ dan qadar  Allah Subhanahu wa Ta’ala.

No comments:

Post a Comment