Saturday 6 October 2012

KAEDAH MENGANGKAT TANGAN KETIKA BERDOA



Mengangkat kedua tangan adalah salah satu sebab termakbulnya doa. Sebagaimana sabda Rasullullah Sallallahi Alaihi Wassalam:
إِنَّ رَبَّكُمْ حَيِيٌّ كَرِيمٌ يَسْتَحْيِي مِنْ عَبْدِهِ إِذَا رَفَعَ يَدَيْهِ إِلَيْهِ أَنْ يَرُدَّهُمَا صِفْرًا

"(Sesungguhnya Tuhan kamu pemalu lagi pemurah, Dia malu terhadap hambanya sekiranya si hamba itu mengangkatkan kedua tangannya lalu dikembalikan keduanya dengan tangan kosong)" (Riwayat Abu Daud dan Tirmizi. Disahihkan oleh Syeikh Al-Albani).
Walau bagaimanapun, mengangkat tangan ketika berdoa terdapat tiga keadaan:
Pertama: Terdapat nas menuntut supaya mengangkat kedua tangan.
Seperti:

1. Ketika doa meminta hujan (Istisqaa’) sebagaimana dalam hadis Bukhari dan Muslim.
2. Ketika doa Qunut Nazilah (ditimpa bala) atau doa Qunut dalam solat sama ada sebelum ruku’ atau selepas ruku’.
3. Ketika di Safa dan Marwah.
4. Ketika di Arafah.
Kedua: Terdapat nas supaya tidak mengangkat tangan.
Seperti:

1. Ketika khutbah Jumaat.
2. Ketika dalam solat dalam keadaan sujud atau selepas tasyahhud.
Dituntut supaya tidak mengangkat tangan walaupun tiada nas yang menyokongnya secara spesifik. Seperti amalan mengangkat tangan ketika berdoa di antara dua khutbah Jumaat dan selepas solat sebagaimana dipraktikkan di kebanyakan tempat. Sekiranya Rasullullah Sallallahi Alaihi Wassalam  atau para Sahabat Radhiallahuanhu Ajmain melaksanakan amalan ini pasti telah dinukilkan kepada kita.
Ketiga: Tidak ada nas yang menuntut supaya mengangkat tangan atau menafikannya.
Dalam keadaan ini terpulang sama ada untuk mengangkat atau tidak. Tetapi afdalnya adalah mengangkat tangan berdasarkan hadis Abu Daud dan Tirmizi di atas.
Tentang mengangkat tangan dengan tinggi melebihi wajah; telah sabit ketika meminta hujan Baginda mengangkat kedua tangannya sampai nampak kedua ketiak Baginda. Sebagaimana hadis:
وَعَنْ أَنَسٍ قَالَ: كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا يَرْفَعُ يَدَيْهِ فِي شَيْءٍ مِنْ دُعَائِهِ إِلَّا فِي الِاسْتِسْقَاءِ فَإِنَّهُ يَرْفَعُ حَتَّى يرى بَيَاض إبطَيْهِ

"(Daripada Anas, bahawasanya Nabi tidak mengangkat tangannya dalam doanya kecuali ketika meminta hujan di mana Baginda mengangkat keduanya sehingga nampak keputihan kedua ketiaknya)" (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Syeikh Uthaimin melihat bahawa lebih tinggi harapan seseorang itu dalam doanya maka lebih tinggilah dia mengangkat kedua tangannya.

Rujukan: (Syarah Hadis 40 Karangan Imam Al-Nawawi oleh Syeikh Uthaimin)

Wallau a’lam.

Penerangan oleh Ustaz Idris bin Sulaiman

No comments:

Post a Comment