Friday 26 October 2012

SEMUA PEPERANGAN PENJAJAH MEMPUNYAI PERSAMAAN

BERITA pembunuhan beramai-ramai oleh askar Amerika terhadap 16 orang awam Afghanistan yang kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, membuatkan saya mengimbau kembali 14 peperangan dan konflik penjajah yang telah saya liputi. Dahsyat tetapi tidak menghairankan.

Ia menggambarkan apa yang saya panggil sebagai Iron Laws of Colonial Warfare atau dalam maksud yang mudah difahami sebagai undang-undang atau prinsip kawalan yang dipertikaikan dan tidak dapat disekat seperti:

1.         Pilih satu alasan yang baik untuk menyerang sebuah negara yang anda hajati. Perancis menyerang Algeria pada tahun 1830 selepas pemerintahnya kononnya menguis Duta Perancis dengan pemukul lalat. Semasa era kolonial abad ke-19, Britain dan Perancis mencetuskan konflik dan kemudian mendakwa pencerobohan mereka adalah untuk membawa cahaya Kristian dan tamadun Barat ke benua Afrika dan Asia. Berlakunya satu insiden yang terkenal di Teluk Tonkin yang mencetuskan Perang Vietnam. Semasa era pentadbiran Bush, alasan untuk menjarah sesebuah negara adalah sebagai menyebarkan tuntutan demokrasi.

Alasan yang diguna pakai pada hari ini adalah misi menyelamat kemanusiaan. Negara Libya yang kaya dengan minyak adalah contoh utama. Britain, Amerika Syarikat dan Perancis berperanan menimbulkan pemberontakan di Benghazi, setelah itu  mereka campur tangan secara ketenteraan.

2.         Pecah dan takluk sebagaimana kata orang Rom. Pilih puak penentang atau kumpulan minoriti yang tidak berpuas hati secara memihak kepada mereka terhadap kumpulan majoriti dan jadikan mereka sekutu dalam pemerintahan penjajah. Contoh yang baik adalah sokongan terhadap puak Tajik dan Uzbek di Afghanistan oleh Soviet Union dan selepas itu oleh Amerika Syarikat dalam menentang puak majoriti Pashtun. Sebagaimana puak Tamil di Sri Lanka lebih disukai oleh Empayar British atau penduduk Kristian Ambon di Indonesia yang digunakan oleh Belanda untuk menguatkuasakan peraturan kejam mereka.

3.         Menubuhkan tentera upahan di kalangan rakyat pribumi. Tentera Imperial Britain menggunakan askar Gurkha dan Sepoy di India, Perancis menggunakan tentera Senegal di Afrika Utara manakala Amerika Syarikat menggunakan puluhan ribu tentera upahan di Iraq dan Afghanistan. Kewujudan Britain’s Indian Raj adalah hasil usaha sama sekumpulan putera-putera. Pihak Soviet memerintah kawasan Eropah Timur melalui tentera komunis tempatan dan pasukan keselamatan mereka.

4.         Mengecam semua kumpulan yang menentang pemerintahan asing sebagai: fanatik agama, pengganas, liar, dan penyamun (istilah kegemaran Soviet). Media Barat sentiasa mengecam pemimpin kemerdekaan sebagai "mullah gila", " pengganas berbahaya", "Hitler di Sungai Nil (Nasser)", atau kegemaran pada hari ini, "Hitler di Teheran".

5.         Lebih lama pendudukan tentera penjajah, mereka bermula dengan tidak menyukai dan akan lebih membenci penduduk tempatan dengan mengganggap mereka sebagai ganas dan tidak berperikemanusiaan. Hukuman kolektif terhadap orang oleh tentera penjajah yang penuh kemarahan, kecewa dan ketakutan menjadi perkara biasa. Kekejaman akan meningkat. Fikirkan tentang pembunuhan beramai-ramai di Mai Lai, Vietnam, pembunuhan beramai-ramai yang terkenal di Amritsar, India, penindasan tentera India terhadap pejuang Kashmir, kekejaman Jepun di China, kekejaman tentera marin AS di Falluja, Iraq, atau kekejaman tentera Rusia di Chechnya.

6.         Pendudukan tentera penjajah semakin bergantung kepada kekejaman dan ugutan, kemudian penyeksaan dan hukuman mati secara rahsia. Imej Tentera Perancis tercemar dan hilang kehormatan akibat jenayah mereka di Algeria. Amerika Syarikat telah mengulangi jenayah dahsyat ini di Afghanistan. Itali menggunakan kem-kem tahanan dan gas beracun untuk menundukkan Libya pada tahun 1930an. USSR telah membunuh seramai 1.5 juta rakyat Afghanistan. Semua peperangan penjajah adalah kotor.

7.         Tentera penjajah mendapati diri mereka dikelilingi oleh penduduk awam yang memusuhi mereka, mendapat serangan dari semua pihak, dikhianati walaupun oleh rakyat tempatan yang menjadi sekutu rapat mereka. Mereka menjadi semakin kejam, pendendam, perogol dan terdedah kepada penggunaan dadah. Serangan mengejut, jerangkap samar, periuk api dan lain-lain alat letupan menyebabkan ketakutan meluas dan kemurungan. Rusia kini mengalami wabak heroin maut akibati pendudukan mereka ke atas Afghanistan selama 10 tahun. Kaedah penyeksaan di Iraq dan Afghanistan menular kepada sistem penguatkuasaan undang-undang AS. Ramai bekas tentera Amerika Syarikat yang berkhidmat di negara-negara Dunia Ketiga dalam peperangan neo-colonial pulang untuk menyertai pasukan polis dan agensi-agensi kerajaan.

Perasaan tentang pengkhianatan telah dirasai. Puak komunis tempatan Afghanistan yang menjadi sekutu Soviet seringkali mengadakan perhubungan rahsia dengan pejuang Mujahidin dan memberi amaran kepada mereka tentang operasi tentera Soviet.  Pada hari ini, ramai anggota kerajaan Afghanistan yang ditubuhkan Amerika Syarikat secara rahsia bekerjasama dengan puak Taliban dan sekutu-sekutunya

8.         Pendudukan tentera asing dan kewujudan garison tentera tidak dapat tidak akan menyebarkan rasuah, pelacuran, budaya tercemar dan penyakit kelamin. Tentera asing akan terus memperkukuhkan kubu-kubu mereka, keluar untuk mengambil tindakan balas dan mengibarkan bendera. Tanggapan bahawa seorang askar yang berusia 20 tahun daripada kalangan masyarakat Barat dapat memenangi hati dan minda puak Afghanistan adalah salah satu mitos yang paling lucu pada zaman kita ini.

9.         Tentera asing dapat mengubah diri mereka dengan cepat kepada satu kuasa penjajah: persenjataan ringan, unit polis bergerak. Apabila perang sebenar berlaku, mereka tidak bersedia untuk menentang seteru yang lebih moden. Pada tahun 1914, tentera imperialis Britain telah dikalahkan di medan pertempuran Flanders. Amerika Syarikat telah menyusun semula tentera mereka untuk penjajahan melalui peperangan. Tetapi mereka mungkin akan berperang dengan China atau Korea Utara.

ALIH BAHASA. Eric S. Margolis adalah pemenang anugerah, kolumnis antarabangsa, menulis terutamanya tentang Timur Tengah dan Asia Selatan. Komen: letters@thesundaily.com

No comments:

Post a Comment