Sunday 25 November 2012

BACAAN YASIN MALAM JUMAAT DAN TOYOTA CAMRY

Industri pemotoran Jepun adalah di antara yang paling rancak, dinamik dan sememangnya berdaya saing di peringkat pasaran global. Toyota dan Honda adalah  dua gergasi pemotoran Jepun yang cukup terkenal di persada antarabangsa. Kenderaan yang dihasilkan keduanya banyak memenuhi jalan-jalan raya di seluruh pelusuk dunia.Kereta keluaran mereka juga pernah beraksi dalam Formula 1. Trend pasaran global, faktor kos dan strategi pasaran menyebabkan industri pemotoran Jepun dikembangkan ke negara-negara yang terpilih untuk dijadikan hab pemasangan kereta mereka. Mereka mendirikan kilang pemasangan atau pengeluaran kereta di negara tersebut untuk pasaran tempatan.
Isu yang sering kedengaran adalah di mana kereta yang dikeluarkan atau dipasang oleh agensi tempatan adalah kurang berkualiti berbanding dengan. kereta keluaran atau yang dipasang di Jepun. Walaupun semua kereta yang dihasilkan mempunyai spesifikasi yang sama, namun para pengguna lebih yakin dengan produk kenderaan di Jepun berbanding produk yang dikeluarkan oleh institusi tempatan. Mereka berbangga kerana memiliki Toyota Camry yang dipasang di Tokyo dan bukannya di Shah Alam. Mereka melihatnya sebagai isu “serupa tapi tak sama”. Mereka mahukan yang “original”. Malah mereka sanggup berbelanja lebih untuk mendapatkan sesuatu yang “ori”. Konsep “ori” juga didambakan oleh semua orang walaupun ternyata kemampuan untuk memiliki adalah berbeza.
Namun seribu kali sayang, analogi “ori” tidak terpakai bagi kebanyakan umat Islam pada hari ini dalam aspek beragama. Mereka suka membuat “modification” apabila mengerjakan sesuatu ibadah dengan niat “sangka baik”. Mereka memperkenalkan ibadat-ibadat yang tidak diamalkan oleh Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam mahupun sahabat-sahabat, tabiin, tabiut-tabiin. Mereka mengambil yang umum dan membuang yang khusus dalam agama. Mereka bertahlil dan membaca Surah Yasin pada malam Jumaat di atas sangka baik; untuk bersedekah kepada orang yang telah mati dan kebaikan membaca al-Quran. Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam tidak bertahlil di atas kewafatan putera dan puterinya dan tidak menetapkan membaca Surah Yasin pada malam Jumaat. Sahabat-sahabat, tabiin, tabiut-tabiin pun tak buat.

Sebaliknya terdapat sebuah hadith: Abu Sa`id al-Khudri radhiAllahu `anhu berkata bahawa Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda:

“Barangsiapa membaca surat al-Kahfi pada hari Jumaat, maka ALLAH terangi ia dengan cahaya di antara dua Jumaat.”  
(HR al-Hakim dan Baihaqi, disahihkan oleh al-Albani)

Begitu juga sebagaimana riwayat Ali daripada Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam, Baginda bersabda yang maksudnya:

“Barangsiapa membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat, nescaya dirinya terpelihara hingga lapan hari, daripada segala fitnah yang melanda, dan jika keluar Dajjal sekalipun, dia akan terpelihara daripadanya.” 
(Al-Dhurr al-Manthur oleh al-Suyuti 5:355)
Percayalah sebuah kereta Volkswagen yang diubahsuai kepada bentuk kereta Porsche tidak dapat menjadi atau mempunyai prestasi sebagaimana sebuah Porsche. Pemandunya hanya ditimpa perasaan atau syok sendiri seolah-olah memandu Porsche walhal orang tetap memanggilnya pemandu kereta kura-kura. Begitulah juga setiap amalan perlu mengikuti sunnah Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam, sahabat-sahabat, tabiin dan tabiut-tabiin. Wallahu a’lam.

1 comment: