Saturday 10 November 2012

BERIMAN DENGAN RUKUN IMAN

Tidak ada siapa yang dapat menerangkan sejarah kewujudan planet dan cakerawala serta  manusia dan binatang dengan secara tepat. Sejak zaman berzaman manusia cuba mengkaji perkara ini dan merumuskan pelbagai teori tentang kejadian alam dan asal-usul manusia.  Namun disebabkan ianya sekadar telahan atau andaian berdasarkan tahap pemikiran mereka, maka tentunya tidak dapat dijadikan satu sandaran yang kukuh dalam memahami perkara ini secara tuntas. Justeru persoalan-persoalan yang lebih kompleks terus menjelma seperti kenapa wujudnya alam ini? Kenapa manusia, binatang dan tumbuh-tumbuhan dijadikan? Kemuncak kepada persoalan ini adalah siapakah pencipta alam dan seluruh isi alam? Manusia terus kebingungan kerana gagal untuk merungkai jawapan-jawapan secara tepat kerana ianya tidak berada di hadapan mata, di luar dari kotak minda dan membabit perkara-perkara di alam ghaib yang tidak dapat dilihat, disentuh atau dirasa dengan pancaindera yang ada. Begitulah daifnya makhluk yang bernama manusia ini.
Alhamdulillah, umat Islam telah diberi kefahaman dalam perkara Tauhid dengan berpaksikan kepada 6 Rukun Iman seperti berikut:
1.         Beriman bahawa Allah Subhanahu Wataala adalah Tuhan yang mencipta alam semesta ini termasuk seluruh isi alam iaitu manusia, jin, binatang dan tumbuh-tumbuhan.
2.         Beriman bahawa para malaikat adalah hamba Allah Subhanahu Wataala yang sentiasa patuh kepada perintah-perintahNya.
3.         Beriman bahawa para rasul dan nabi adalah pesuruh Allah Subhanahu Wataala di kalangan manusia yang diamanahkan untuk memimpin umat manusia daam mentaati perintah dan laranganNya.
4.         Beriman bahawa kitab-kitab Zabur, Taurat, Injil dan al-Quran adalah risalah yang diturunkan oleh Allah Subhanahu Wataala kepada rasul yang terpilih sebagai garis panduan dalam memimpin umat manusia.
5.         Beriman bahawa perjalanan kehidupan umat manusia ditentukan oleh qada’ dan qadar Allah Subhanahu Wataala.
6.         Beriman bahawa akan berlaku kemusnahan alam ini di atas kehendak Allah Subhanahu Wataala yang dikenali sebagai hari Kiamat.
Oleh itu dapatlah difahamkan bahawa Allah Subhanahu Wataala adalah Tuhan yang mencipta alam semesta dan seluruh isi alam. Manusia dijadikan untuk menyembah Allah Subhanahu Wataala dan diperintahkan supaya taat kepada suruhan dan laranganNya dengan para rasul memberi panduan.  Manusia akan menghuni alam ini buat sementara waktu sehinggalah berlaku kehancuran apabila tibanya hari Kiamat. Mereka kemudiannya akan diadili di mana balasan baik adalah syurga manakala balasan jahat adalah neraka. Syaitan, iblis dan jin adalah makhluk Allah Subhanahu Wataala yang akan sentiasa menggoda dan mengajak umat manusia di dunia ini untuk mengingkari Allah Subhanahu Wataala sehingga hari Kiamat. Dalam menjalani kehidupan di dunia ini, terlalu banyak rahsia dan perkara-perkara ghaib dalam kekuasaan Allah Subhanahu Wataala yang tidak diketahui umat manusia.  Wallahu a’lam.

No comments:

Post a Comment