Sunday 4 November 2012

KECELARUAN AQIDAH UMAT ISLAM AKHIR ZAMAN


Tidak dapat dinafikan bahawa umat Islam akhir zaman adalah jahil dalam akidah dan persoalan keimanan. Rentetan kejahilan ini berlaku dalam kehidupan seharian berlaku apabila:
1.         Umat Islam tidak peka terhadap tuntutan agama yang sebenarnya. Pada kebanyakan masa mereka selesa dengan pengetahuan yang sedia ada iaitu apa yang diperolehi semasa pembelajaran mata pelajaran agama di bangku sekolah.
2.         Mereka tidak berusaha untuk menambah ilmu pengetahuan agama dan kalau adapun setakat belajar secara santai di masjid atau surau bila ada masa terluang.
3.         Kejahilan umat makin bertambah parah apabila timbulnya pelbagai individu/gerakan Islam yang cuba menerapkan akidah Islam kepada umat mengikut citarasa masing-masing.
Dalam agama Islam terdapat pelbagai harakah yang bersalutkan imej Islam seperti golongan Khawarij, Syiah, Ahbash, Muktazilah, Kullabiyah, al-Asya'irah, Qadariyah dan Jabbariyyah. Harakah-harakah ini mempunyai pendekatan-pendekatan yang tersendiri dalam beragama di mana guru-guru mereka memainkan peranan yang penting untuk menggerakkan setiap aktiviti dengan konotasi Islam secara zahir atau batin. Kaedah pemahaman agama Islam dengan doktrin “matlamat menghalalkan cara” dan “sangka baik” telah disogokkan kepada umat melalui ajaran sufi, taksub mazhab, penggunaan logik akal, humanisma malah bercampur baur dengan kesyirikan. 
Tampak dari luarnya seolah-olah tidak ada masalah kerana tawaran yang dikemukakan adalah berpakej Islam. Bahkan kilauan pakej Islam begitu memukau kerana imej yang dipertontonkan kepada masyarakat secara mengaitkan dengan hal-hal hawa nafsu keduniaan (budaya hedonistik) dan diuar-uarkan inilah kaedah Islam yang sebenarnya. Justeru atas alasan mewujudkan keinsafan kepada masyarakat maka kita dapat lihat al-Quran telah dilagukan secara mendayu-dayu. Nasyid dengan irama ala-ala muzik Arab pula dianggap satu wasilah dakwah di mana penyanyinya memakai songkok atau ketayap. Program-program TV yang diatasnamakan sebagai program yang Islamik dan dinamakan dengan nama yang sinonim dengan Islam seperti Ustazahku, Muslimah Kini tetapi jelas sekadar berlegar di sekitar kecantikan, keayuan, kepetahan peserta-peserta wanita dan inilah sebenarnya yang menjadi tarikan ramai.  Tidak kurang juga meniru amalan orang kafir (tasyabbuh) tetapi telah diselitkan dengan imej Islam. Contoh yang jelas adalah  seperti sesuatu acara perkahwinan dianggap mempunyai ciri-ciri Islam apabila ada bacaan doa, ada majlis khatam al-Quran,  ada lagu-lagu nasyid, ada tema padang pasir. Dalam masa yang sama ada merenjis, ada persandingan dan ada sarung cincin. Apakah kita boleh katakan bahawa perkahwinan tersebut adalah satu ibadah? Tidakkah ianya menunjukkan aqidah mereka telah  rosak. Sebagai contoh, inilah formula sangka baik yang dicipta oleh penyeleweng agama berhubung dengan perkahwinan:  
Perkahwinan
Cara
Matlamat
Aktiviti
Lagu-lagu +  bacaan alQuran +  Persandingan
Ibadah?
Status
Maksiat  +  Bidaah + Tasyabbuh
Ibadah ?
Ulasan
Matlamat tidak menghalalkan cara dan tidak ada sangka baik kecuali mempunyai dalil yang sahih
Status ibadah diragui


Akibat kerancuan ini, episod duka terus menimpa umat Islam apabila terjadi fitnah dan musibah yang lebih besar. Tok-tok guru dan pemuka-pemuka agama terus dengan aktiviti mengeliru dan menyesatkan lalu umatpun terus keliru dan hanyut sesat serta menganggap itulah wajah Islam yang sebenarnya.  Ini disebabkan manhaj dan akidah mereka menyalahi perintah/kaedah Rasullullah Sallallahi Alaihi Wassalam. Mereka mengambil sebahagian ajaran Rasullullah Sallallahi Alaihi Wassalam yang bersesuaian dengan masyarakat, budaya dan tanah air mereka. Mereka meninggalkan sebahagian ajaran Rasullullah Sallallahi Alaihi Wassalam dengan alasan khilaf, tajdid dan liberal. Mereka memasukkan perkara-perkara baru yang tidak ada usul dalam ibadat serta cenderung “mengibadatkan adat”.  Mereka menghidupkan bidaah dan mematikan jalan-jalan sunnah. Mereka mengambil pedoman daripada syeikh-syeikh mereka tetapi melupakan sahabat-sahabat Radhiallahu Ajmain daripada tiga kurun terbaik. Mereka mengagungkan dan taksub kepada tok-tok guru yang menggendung kitab-kitab kuning tetapi mengabaikan Mahaguru Agung yang diutuskan bersama risalah agama Islam yang syumul iaitu Muhammad  Rasullullah Sallallahi Alaihi Wassalam. Wallahu a’lam.

No comments:

Post a Comment