Saturday, 14 May 2011

HALALKAH REVOLUSI DAN DEMONSTRASI MENENTANG PEMERINTAH? BHG AKHIR

Peristiwa yang telah dan sedang berlaku di hadapan mata kita tidak berapa lama dulu perlu diteliti dengan cermat. Berapa banyak negara-negara Islam yang telah hancur sistem kenegaraannya akibat revolusi dan pemberontakan kerana termakan dengan slogan-slogan keadilan, kebebasan dan kesamarataan. Rakyat jelata disogok dengan propaganda-propaganda menentang kerajaan oleh pemimpin-pemimpin pembangkang yang dibiayai oleh dana-dana asing. Kedudukan mereka tidak lebih ibarat “keluar daripada mulut harimau dan masuk ke mulut buaya”, walaupun bertukar pemerintah namun kedudukan mereka bukanlah bertambah baik kerana kedua-dua pihak sama ada berstatus pemerintah atau rakyat tidak mematuhi kaedah kenegaraan yang termaktub dalam al-Quran dan as-Sunnah. Apatah lagi kuffar Nasara dan Yahudi secara sembunyi akan menaja pemerintah-pemerintah boneka untuk terus menguasai  dan menghancur umat Islam demi kepentingan mereka. Sebagaimana yang dapat kita saksikan pada hari ini di mana sistem politik, ekonomi dan sosial Iraq telah hancur dan ianya tidaklah lebih baik daripada keadaan semasa zaman Saddam Hussein. Pembunuhan dan penyembelihan ulamak-ulamak Sunni dan rakyat yang tidak berdosa di Iraq makin menjadi-jadi tetapi tidak diketahui ramai kerana ditutup rapi oleh media antarabangsa. Begitulah juga dengan keadaan di Afghanistan  yang lebih teruk berbanding dengan zaman Raja Daud. Inilah hasil revolusi, inilah hasil reformasi. Nasi sudah menjadi bubur…umat Islam seumpama menjadi bidak-bidak catur. Nasib yang sama akan menimpa Tunisia, Mesir, Libya, Yaman, Bahrain dan Syria. Inilah ‘Grand Design’ yang telah dirancang sekian lama yakni pemberontakan atas nama demokrasi di negara-negara tersebut yang didalangi oleh puak-puak Syiah yang bekerjasama di belakang tabir dengan Yahudi dan Pemodal Elit Antarabangsa. Apa yang pasti Syiah menghalalkan darah Sunni dan Syiah yang agresif ingin mengusir Syiah yang pasif (Libya diterajui oleh Syiah Fatimiyyah)  atau untuk mempercepatkan lagi agenda mereka untuk menguasai Jazirah Arab dalam rancangan jahat mereka untuk menakluk bumi Mekah dan Madinah.

Jadikanlah peristiwa-peristiwa ini sebagai ibrah atau pengajaran kepada kita rakyat Malaysia. Renungkanlah pesanan Rasullullah Sallallahi Alaihi Wassalam Ku wasiatkan kepada kalian bertakwa kepada Allah, untuk mendengar dan taat, walaupun yang memerintah kalian itu seorang budak. Dan barangsiapa di antara kalian yang masih hidup sepeninggalanku, nescaya dia akan melihat perselisihan yang banyak. Kerana itu wajib atas kalian untuk berpegang dengan sunnahku dan sunnahnya al Khulafa’ ar Rasyidin yang mendapatkan petunjuk. Pegang erat-erat sunnah itu dengan dengan gigi geraham kalian. Dan hati-hati kalian dari perkara-perkara baru, kerana setiap perkara baru (bid‘ah) itu sesat.” (Hadis Riwayat. Abu Daud No. 3991). Dalam konteks ini umat Islam perlu menjauhi kumpulan penentang dalam bentuk Khawarij moden yang menganjurkan penentangan dan pertumpahan darah. Orang-orang Melayu dan orang-orang Islam perlu menyedari hakikat ini dan jangan terikut-terikut dengan kumpulan-kumpulan penentang menyebabkan perpaduan dan kuasa politik Melayu akan berkecai. Tidak ada ‘short cut’ dan formula utamanya adalah untuk kita kembali mempelajari dan berittiba’ dengan manhaj Salafus Soleh terutama mengenai aqidah yang haq sebagaimana yang diajar oleh Rasullullah Sallallahi Alaihi Wassalam. Setelah itu jadikan ianya  ‘as a way of our life’ dan dipraktik secara menyeluruh dengan mengasingkan dan membezakan di antara perkara yang haq dan perkara yang batil. Natijahnya adalah akan terhasillah generasi yang bertakwa dan bumi yang makmur serta akan sentiasa mendapat rahmat dan keredhaan Allah Subhanahu Wata'ala. Tentunya setelah mendapat rahmat Allah Subhanahu Wata'ala, maka segala pertolonganNya akan sampai apabila semua syarat-syarat telah dipatuhi. Di situlah kemuncak keunggulan manusia  yakni setelah mendapat keredhaan Allah Subhanahu Wata'ala di mana dilimpahkan kebahagiaan di dunia dan kesejahteraan di akhirat, tempat yang kekal buat selamanya.

Saturday, 7 May 2011

HALALKAH REVOLUSI DAN DEMONSTRASI MENENTANG PEMERINTAH? BHG 3

Kembali kepada mauduk artikel ini, kita wajar memahami bahawa politik juga adalah sebahagian daripada segmen Islam dan wajib dilaksanakan berdasarkan syariat Islam. Justeru  Allah Subhanahu Wataala telah berfirman dan beberapa hadis Rasullullah Sallallahi Alaihi Wassalam yang menerangkan hubungan di antara pemerintah dengan rakyat dalam negara Islam;

1)          Firman Allah Subhanahu Wataala “Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul dan kepada Ulil-Amri (orang yang berkuasa) daripada kalangan kamu. Kemudian jika kamu berselisih pendapat dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (al-Quran) dan (sunnah) RasulNya – jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih baik pula akibatnya” an-Nisa’: 59

2)         Ummu Salamah berkata, bahawa Rasulullah Sallallahi Alaihi Wassalam bersabda:

“Akan ada sepeninggalanku nanti pemimpin (yang) kalian mengenalnya dan mengingkari (kejelekannya), maka barangsiapa membencinya (bererti) dia telah berlepas diri, dan barangsiapa mengingkarinya (bererti,) dia telah selamat. Akan tetapi barangsiapa yang meredhainya kejahatannya, akan mengikutinya”

Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, Apakah tidak kita perangi saja mereka?” Baginda menjawab: “Jangan, selama mereka masih menegakkan solat.” (Hadis Riwayat Muslim, 1854)

3)         “Sebaik-baik pemerintah kamu adalah pemerintah yang kamu sayangi mereka, dan mereka menyayangi kamu. Kamu mendoakan ke atas mereka, dan mereka mendoakan ke atas kamu. (Adapun) Sejahat-jahat pemerintah kamu adalah mereka yang kamu benci dan mereka pula benci kepada kamu, kamu melaknat mereka dan mereka melaknat kamu”. Berkata (Auf), kami bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah boleh kami menyerang mereka dengan pedang?” Nabi menjawab : “Tidak boleh, selama mereka menunaikan solat.” (Sahih Muslim no.1482 Jilid 3 )

4)         “Nanti setelah aku akan ada seorang pemimpin yang tidak mendapat petunjukku (dalam ilmu, pent) dan tidak pula melaksanakan sunnahku (dalam amal, pent). Nanti akan ada di tengah-tengah mereka orang-orang yang hatinya adalah hati setan, namun jasadnya adalah jasad manusia.

Aku berkata, “Wahai Rasulullah, apa yang harus aku lakukan jika aku menemui zaman seperti itu?”

Baginda bersabda, ”Dengarlah dan ta’at kepada pemimpinmu, walaupun mereka menyiksa punggungmu dan mengambil hartamu. Tetaplah mendengar dan ta’at kepada mereka.” (HR. Muslim no. 1847. Lihat penjelasan hadits ini dalam Muroqotul Mafatih Syarh Misykah Al Mashobih, 15/343, Maktabah Syamilah)

5)         Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam menyeru kami (agar patuh dan taat), maka kami pun membaiatnya, dan baginda meminta dari kami adalah: Agar kami membaiatnya atas dasar mendengar dan taat dalam suka maupun duka, dalam keadaan susah ataupun senang dan dalam keadaan tidak kita sukai atau kita suka serta supaya kita tidak merampas kekuasaan dari ahlinya. Kemudian baginda bersabda: “Kecuali kamu melihat kekafiran yang telah nyata oleh kamu dengan pembuktian dari Allah Taala (dalil dari al-Quran yang membuktikan kekafirannya) (Syarah Muslim. Kitabul Imarah, bab Wujubu at-Taah al-Umara fi Ghairi Masiyah wa-Tahrimuha fi al-Masiyah. Oleh Imam Nawawi. Hadis Riwayat Muslim)

6)         “Ketahuilah! Sesiapa yang diperintah oleh seorang pemimpin kemudian dia mendapati pemimpinnya bermaksiat kepada Allah, maka hendaklah dia membenci kemaksiatannya kepada Allah (yang dikerjakannya) tetapi tidak dihalalkan melepaskan tangan dari mentaatinya (tidak boleh membenci dan tidak boleh memberontak terhadapnya)” (Hadis Riwayat Muslim)

7)         “Dengar dan patuh walaupun kamu diperintah oleh seorang hamba Habsyi yang kepalanya seperti kismis” (Hadis Riwayat Bukhari)

Ayat al-Quran dan hadis-hadis di atas menerangkan kewajipan untuk memberi ketaatan kepada pemerintah dan jauh sekali untuk melancarkan revolusi, memberontak atau reformasi untuk mengguling pemerintahan mereka. Namun hal ini sukar sangat dimengertikan sekiranya manusia menggunakan akal semata-mata. Ini disebabkan akal akan menolak sama sekali kerana akan berhujah di atas premis keadilan dan mempertahankan hak. Lalu apakah akan terjadi seterusnya? Adakah patut kita menolak ayat al-Quran dan hadis-hadis sahih ini? Adakah kita akan mendahulukan akal berbanding dengan wahyu dan sunnah? Jawapannya tidak, kita tidak boleh mendahulukan akal dan wajib mematuhi sabda Rasullullah Sallallahi Alaihi Wassalam. Bila berhadapan dengan pemerintah yang zalim, JIKA BERUPAYA kita hendaklah memberi nasihat dengan lemah lembut, dengan uslub yang bijaksana. PALING TIDAK sekiranya nasihat atau saranan kita tidak diterima kita maka hendaklah membenci perbuatan mungkar mereka itu walaupun itulah tanda selemah-lemah iman. Setelah berbuat demikian gugurlah kewajipan kita dalam hal ini dan selebihnya adalah kepunyaan dan urusan Allah Subhanahu Wataala untuk mengadili mereka.

Soal kezaliman, kemaksiatan dan kemungkaran mereka bakal diadili oleh Allah Subhanahu Wataala. Bukankah pernah dikhabarkan kepada kita bahawa sultan, raja, pemerintah dan penguasa yang zalim akan dicampakkan ke dalam neraka yang paling bawah. Namun akibat kedangkalan kita, akal masih tidak boleh terima dan hati terus memberontak serta mempersoalkan mengapa perlu dipatuhi pemerintah yang zalim di mana semangat penentangan akan berterusan. Maka kita akan terus mengatakan pemerintah itu zalim, korup, nepotisme, sahabat Zionis dan segala macam cercaan padahal kesemua itu adalah dalam pengetahuan Allah Subhanahu Wataala. Namun harus kita ingat soal kemungkaran pemerintah adalah satu hal dan itu menjadi urusan Allah Subhanahu Wataala manakala kewajipan untuk taat kepada pemerintah adalah satu hal yang lain di mana kita hendaklah memahami keperluan untuk beriman dengan al-Quran dan as-Sunnah. Kita bukanlah menyokong kemungkaran dan kemaksiatan mereka dan jauh sekali mempertahankan mereka tetapi kita sekadar dengar dan taat  serta beriman dengan perintah al-Quran dan hadis-hadis tadi iaitu tidak boleh menentang pemerintah. Justeru biarlah hanya Allah Subhanahu Wataala yang berurusan dengan pemerintah berkenaan dan mengapa harus kita mengingkari al-Quran dan hadis-hadis berhubung memberi ketaatan kepada pemerintah? Apakah kita mempunyai alasan yang cukup untuk tidak beriman dengan al-Quran dan hadis-hadis ini? Ketahuilah kita bahawa semua ini adalah ujian dan qada’ Allah Subhanahu Wataala yang mana sesuai dengan kebesaranNya. Selaku pencipta dan pemilik alam semesta ini, Dialah Yang Maha Mengetahui akan sesuatu yang dikehendakiNya. Cuma kita yang tidak tahu hikmahnya dan masih tidak mahu mengerti sunnatullah dan paling malang kita jadi manusia yang melanggar al-Quran dan as-Sunnah menyebabkan kita masuk ke dalam perangkap iblis laknatullah.

Monday, 2 May 2011

OSAMA BIN LADEN - SATU MITOS

Seluruh dunia digemparkan dengan kematian  Osama Bin Laden akibat serangan tentera Amerika Syarikat pada hari Ahad lepas. Mayatnya dikatakan berada dalam pegangan tentera Amerika Syarikat. Sememangnya berita kematian beliau tidaklah mengejutkan kerana pengumuman sedemikian sering  dilakukan oleh pihak Amerika Syarikat. Namun pada kali ini berita kematiannya nampak agak 'real'. Apapun Allah Subhanahu Wataala telah berfirman " Setiap diri (yang bernyawa) mesti merasai mati, Kami akan uji kamu dengan kejahatan dan kebajikan, sebagai satu ujian; kepada Kami kamu akan dikembalikan". Surah Al-Anbiyaa': 35. Justeru kematian seseorang anak Adam itu pasti tiba bila sampai saatnya.

Berita kematiannya diratapi oleh kebanyakan orang Islam bagi mereka yang menganggap beliau sebagai ikon Islam dalam menentang kekuasaan Amerika Syarikat. Adakah benar begitu? Hakikat sebenar tentang diri Osama Bin Laden ini perlu difahami dengan sewajarnya oleh seluruh umat Islam. Nama beliau timbul apabila dikaitkan dengan Peristiwa 11 September 2001. Dikatakan Osama sebagai perancang utama yang mengepalai sekumpulan pengganas untuk melakukan serangan ke atas World Trade Centre dan Pentagon. Walhal satu rahsia besar adalah Osama sendiri semata-mata merupakan alat propaganda Amerika Syarikat. Banyak kajian lanjut yang dibuat oleh individu dan NGO mendapati peristiwa serangan tersebut adalah diragui kerana berlawanan dengan logik akal sementelah tidak disokong oleh bukti secara saintifik. Bahkan dikatakan serangan tersebut dirancang oleh pihak Amerika Syarikat sendiri bagi memenuhi agenda sulit mereka. Kajian badan bebas mendapati serangan ke atas 3 sasaran serentak secara comprehensive adalah terlalu complicated untuk dilakukan oleh sekumpulan pengganas. Namun berita-berita seumpama ini didiamkan oleh media massa dunia milik individu-individu yang berpengaruh dan tidak disebarluas ke pelosok dunia.

Natijah kepada Peristiwa 11 September 2001 adalah Amerika Syarikat mengeksploitasikannya untuk menjarah negara-negara Islam, menghancur tamadun Islam, membunuh ribuan umat Islam yang tidak berdosa dengan alasan memerangi keganasan dimulai dengan serangan ke atas Iraq dan Afghanistan. Osama adalah trump card untuk kuffar menyembelih umat Islam kerana saban waktu dikhabarkan Osama berkata itu dan ini serta menunggu masa yang sesuai untuk bertindak yakni melancarkan serangan ke atas kepentingan Amerika Syarikat. Hampir 10 tahun berlalu tetapi Osama 'never strikes back' dan tidak ada 'happening'. Bahkan dalam masa yang sama terdapat maklumat yang mengatakan beliau sepanjang masa berada dalam keadaan sakit dan mendapat rawatan di sebuah negara Teluk serta dilindungi oleh tentera Amerika Syarikat! Sekarang sudah sampai watak Osama dimatikan secara rasmi kerana penaklukan Amerika Syarikat ke atas bumi Arab telah memasuki fasa kedua sebagaimana kekacauan yang dicetuskan di Tunisia, Mesir, Libya, Bahrain, Yaman dan Syria.

Kita boleh bercakap banyak perkara mengenai Osama secara serkap jarang sahaja kerana sukar untuk dibuktikan kerana melibatkan sebuah 'Grand Design' yang berdarjah 'Top Secret'. Namun berdasarkan modus operandi beliau dan dibuat perbandingan melalui perspektif Islam, ianya tidaklah terlalu rumit untuk difahami siapa sebenarnya Osama kerana,  pertama, cara bertindak beliau dan pengikutnya yang membunuh dan membunuh diri sendiri adalah bercirikan khawarij dan menjatuhkan imej Islam di mana beliau  telah ditolak oleh Arab Saudi, negaranya sendiri. Kedua, aktiviti beliau menjadikan orang ramai sebagai sasaran manakala ribuan rakyat yang tidak berdosa terbunuh oleh tentera Amerika dalam usaha untuk 'menangkap' Osama Bin Laden. Ketiga, menyelisihi  sirah Nabi dan Rasul kerana tidak membina kekuatan aqidah bagi pengikutnya terlebih dahulu bahkan kekuatan persenjataan kumpulannya adalah terlalu kecil  dalam usaha 'kononnya' hendak melawan kuasa besar. Keempat, beliau sebelum ini dikatakan pernah menjadi talibarut CIA. Justeru tiada apa-apa yang boleh umat Islam sandarkan lagi kepadanya kerana kisah Osama Bin Laden sebenarnya adalah sebuah mitos hasil karya Amerika Syarikat. Noktah.

Wednesday, 27 April 2011

HALALKAH REVOLUSI DAN DEMONSTRASI? – BHG 2

Iradah Allah Subhanahu Wataala mentakdirkan dunia ini sebagai medan ujian getir kepada manusia dalam berdepan dengan tipu daya Iblis yang dibantu oleh manusia-manusia kuffar, golongan fasik dan golongan munafik. Al Quran mengkhabarkan dari zaman ke zaman, munculnya manusia-manusia yang menentang risalah tauhid yang dibawa oleh nabi-nabi bahkan mereka membunuh nabi-nabi yang diutuskan. Mereka  mengubah dan mentakwil kitab-kitab wahyu mengikut akal dan nafsu semata-mata tetapi ironinya mereka mendakwa bahawa merekalah pejuang agama yang sebenarnya. Dalam masa yang sama makar Iblis terus berjalan untuk menggoncangkan dan menyerang keimanan umat manusia dari segenap sudut kehidupan. Dunia akhir zaman diselubungi dengan fitnah yang maha dahsyat yang terang-terang mengajak manusia menjauhi Ilahi, justeru pola-pola kerosakan terus berkembang biak seperti urusan kekeluargaan dicemari dengan seks bebas, gay dan lesbian.

Manakala dalam menentang ciptaan Allah Subhanahu Wataala diwar-warkan bumi terjadi daripada Teori Big Bang dan manusia berasal daripada monyet. Dalam aspek muamalat, riba dan rasuah menjadi teras utama. Manakala dalam politik yang menjadi mauduk kepada artikel ini dipenuhi dengan slogan demokrasi, revolusi, reformasi dan demonstrasi yang mengajak manusia bertelingkah sepanjang zaman. Malah mereka dengan lantang menyebarkan slogan kebebasan, kesamaan dan kesamarataan bagi mengabui khalayak ramai. Apakah  sistem demokrasi berteraskan suara majoriti yang membenarkan pelanggaran hukum-hukum Allah Subhanahu Wataala patut kita terima? Tahukah kita pemimpin komunis yang melaungkan KESAMARATAAN menikmati makanan dan minuman yang enak sedangkan rakyat mereka berbaris berbatu-batu demi mendapatkan sebuku roti? Tahukah kita bahawa demokrasi dan komunisme yang dikatakan saling bertentangan itu adalah kembar bukan seiras yang diasaskan dari sumber yang sama? Apakah kita tidak merasa pelik walaupun di era yang dikatakan Perang  Dingin, terdapat Chase of Manhattan iaitu sebuah bank kapitalis terpacak megah di Moscow, ibukota negara komunis Soviet Union sejak sekian lama? Tahukah kita sekutu rapat jutawan Yahudi iaitu Jacob Schiff dan Max Warburgs  menaja dan menjual senjata kepada Russia dan membuat perkara yang sama untuk Jepun dalam Russo-Japanese War di awal abad ke 20? Benarkah Syiah itu Islam?   Apakah kita tidak tahu bahawa kaum Yahudi yang mengawal dunia hiburan dan media massa pada hari ini?

Tujuan pertanyaan di atas dilontarkan adalah untuk menjelaskan bagaimana teruknya berlaku kerosakan dalam politik yang didatangkan oleh iblis dan penyembah-penyembah iblis. Mereka mempunyai pakej yang lengkap untuk menyesatkan anak-anak Adam supaya menyulusuri jalan-jalan yang mungkar.  Sekiranya anak Adam itu cintakan dunia diumpankan dengan harta kemewahan yang melimpah ruah. Bagi yang inginkan kemegahan dikhayalkan dengan kuasa dan kebesaran. Hatta bagi yang memilih jalan agama sekalipun terpesong dengan mengamalkan ajaran yang  tidak berasaskan manhaj salafus soleh. Oleh itu adalah tidak menghairankan kegawatan demi kegawatan menimpa kepada manusia akhir zaman.

Thursday, 14 April 2011

Lirik Lagu 'Imagine' - John Lennon

Imagine there's no Heaven
It's easy if you try
No hell below us
Above us only sky
Imagine all the people
Living for today

Semasa remaja, saya kenal dan tertarik dengan lirik lagu ini. Apatah lagi ianya dikatakan karya besar John Lennon sebelum ditembak mati pada tahun 1980. Namun setelah mengikuti subjek Sejarah Pemikiran di Pusat Pengajian Umum UKM, MasyaAllah barulah saya tahu rupa-rupanya satu lagi makar penyembah iblis untuk menyesatkan manusia melalui brainwashing. Ini dilakukan secara halus dalam proses subliminal, kamus Oxford mendefinisikannya sebagai ‘di bawah sedar’ (below the threshold of consciousness). Kita akan mudah faham seandainya  bait-bait lagu itu secara terang-terangan seperti lets dancebring me my wine, rocks and rolls dan segala macam lagi perkataan yang berbaur maksiat. Justeru ingat ini baru satu lagu, ternyata di luar sana terdapat ratusan ribu lagu yang mengajak ke jalan maksiat. Pemesongan dalam lirik lagu pula dapat dikesan seperti berikut:

Imagine there's no Heaven – MENAFIKAN ADANYA SYURGA CIPTAAN ALLAH AZAWAJALLA
It's easy if you try - NO, LA TAQRABBU MAKSIAT
No hell below us - MENAFIKAN ADANYA NERAKA CIPTAAN ALLAH AZAWAJALLA
Above us only sky - DI MANA ARASY KEPUNYAAN ALLAH AZAWAJALLA?

Imagine all the people
Living for today

Imagine there's no countries  - NEW WORLD ORDER

It isn't hard to do
Nothing to kill or die for  - DUSTA BESAR
And no religion too  - KOMUNIS & ATHEIS – TOLAK AGAMA
Imagine all the people
Living life in peace – DUSTA BESAR

You may say that I'm a dreamer – INI TRICK DIA

But I'm not the only one
I hope someday you'll join us
And the world will be as one – DI BAWAH KEKUASAAN ILLUMINATI @ NEW WORLD ORDER

Imagine no possessions – KEKAYAAN DIKAUT OLEH KAPITALIS
I wonder if you can
No need for greed or hunger – DUSTA BESAR
A brotherhood of man
Imagine all the people
Sharing all the world – DUSTA BESAR

Yang dikatakan subliminal kerana segala apa yang dituturkan secara berulangkali akan memberi pengaruh ke atas otak kerana tindakan yang akan dilakukan atau kefahaman yang terbit adalah berdasarkan mesej yang dimuatkan ke dalam otak. Rahsianya adalah pengulangan (repetition) dengan perkataan yang tidak tahu makna, tambah-tambah lagi secara tidak sedar. Satu lagi dalam kaedah lagu adalah chorus (suara latar? biasanya disebut berulangkali), cuba teka apakah proses keterbalikan perkataan dalam otak secara subliminal bagi bait DOG SI NATAS, jawapannya adalah SATAN IS GOD. Nauzubillahi minzalik. Apakah kita patut mengatakan perkataan mungkar tersebut berulangkali?  Oleh itu awasi anak-anak, isteri dan kita dengan program-program Akademi Fantasia, Mentor, Jangan Lupa lirik dan seumpamanya.  Jangan jadi pembawa obor maksiat !!! Wallahu a’lam

Tuesday, 12 April 2011

Halalkah Revolusi dan Demonstrasi? – Bahagian 1


Berlatarbelakang kebangkitan rakyat di Tunisia, Mesir, Libya pada awal  2011 yang telahpun menular ke Yaman dan Bahrain serta keadaan yang tegang di Syria dilihat sebagai pertembungan di antara rakyat menentang pemerintah. Simboliknya adalah kemiskinan menentang kekayaan, keadilan menentang kezaliman, demokrasi menentang diktator. Persoalannya adakah begitu hakikatnya? Di satu sudut akal pemikiran memang ada kebenarannya, bak kata sudah terang lagi bersuluh. Ditanyakan kepada anak-anak sekolah TADIKA sekalipun, mereka sudah pasti menjawab bahawa yang zalim itu jahat dan orang zalim masuk ke neraka. Malah kita mengatakan sia-sia sahaja beragama Islam tetapi merekalah pemerintah yang zalim, mengamalkan kronisme, korup, mengamalkan budaya hedonistik dan berprinsipkan matlamat menghalalkan cara serta namakan apa saja bentuk kemaksiatan dan kejahatan, senarai nama merekalah berada di senarai paling atas. Lalu wujudnya mereka yang berusaha menubuhkan perkumpulan, gerakan dan pertubuhan untuk menentang dan menjatuhkan pemerintah yang dikatakan zalim. Mereka melaungkan kepada rakyat supaya turut serta menggulingkan kerajaan dengan melancarkan revolusi atau reformasi. Andaikata gerakan tersebut berjaya maka akan tertegaklah sebuah pemerintahan yang baru sehinggalah mereka pula ditewaskan di dalam sama ada dalam sistem pilihanraya atau digulingkan secara kekerasan oleh penentang mereka. Justeru inilah yang berlaku dalam sistem politik ciptaan manusia yang berkisar dalam perkataan demokrasi, revolusi, reformasi, monarki dan label-label yang bersamaan dengannya. Sejarah dunia dapat melihat Revolusi Inggeris, Perancis, Russia, Perang Dunia Pertama dan Kedua, Perang Dingin, Konflik Asia Barat dan terkini gerakan penentangan di beberapa negara Arab.

Dalam mengupas perkara ini, saya ingin menyoroti hakikat sebenar sistem politik dan kefahaman politik yang kita anuti sekarang. Dalam bahasa yang mudah, politik adalah bagaimana hendak menjalani kehidupan dengan orang lain di dunia ini. Rata-rata negara-negara di dunia sama ada di negara-negara Islam atau bukan Islam mengamalkan politik sekular sama ada dalam wadah demokrasi, sosialis, komunis atau diktator. Apa yang pasti kesemua penganut sistem-sistem ini mendakwa bahawa sistem merekalah yang terbaik terutama pada masa ini di mana dunia didominasi oleh sistem demokrasi yang diwarisi daripada sistem Greek kuno. Namun begitu manusia tidak sunyi daripada peperangan dan tidak akan terhenti daripada pertelingkahan walau apa sistem yang dianuti sekalipun.

Sebagai umat Islam, untuk memahami perkara ini dengan lebih mendalam kita perlu merujuk dan memahami perkara-perkara asas dalam kehidupan yakni kenapa manusia dijadikan? Kenapa manusia dipilih sebagai khalifah di bumi? Apakah hikmah Nabi Adam A.S diturunkan ke bumi? Kenapa rasul dan nabi diutuskan bagi setiap umat? Apakah  tekad Iblis untuk menyesatkan anak Adam? Apakah bentuk ujian yang terpaksa manusia hadapi semasa berada di alam nyata? Apakah hubungan yang signifikan di antara alam nyata dan alam akhirat?  Apakah kita lupa dua peninggalan Rasullullah Sallallahi Alaihi Wassalam iaitu alQuran dan asSunnah dapat menghindarkan kita daripada kesesatan?

Sunday, 3 April 2011

Konspirasi Penyembah-penyembah Syaitan - Bhg 2


Paparan klip video ini adalah merupakan sambungan kepada klip yang terdahulu. Ianya membongkar sudut sejarah yang disogokkan ke dalam pemikiran umat manusia pada hari ini. Teori-teori palsu ini dijadikan kurrikulum pelajaran dan diajar secara formal di sekolah-sekolah, institut-institut hatta di institusi pengajian tinggi. Ini semua tidak lain dan tidak bukan adalah kerja-kerja jahat pakatan alMasih alDajjal dan sekutunya yang ingin merosakkan manusia dalam usaha mengumpul seberapa ramai manusia yang mungkin untuk bersama mereka menghuni neraka jahannam kelak. Perkara utama yang perlu kita ketahui adalah kita berada di zaman Dajjal, satu zaman yang penuh dengan fitnah. Justeru dalam menangkis serangan yang tidak berpenghujung ini, kita perlu melengkapkan pertahanan diri yang rapi untuk diri kita, keluarga kita, masyarakat kita dan negara kita. Tiada jalan singkat kecuali ittiba' yakni dengan mengambil dan mengamalkan risalah tauhid yang dibawa oleh Rasullulah Sallallahi Alaihi Wassalam yang diteruskan oleh sahabat-sahabat, tabiin dan tabiut tabiin. Inilah hanya satu-satu jalan ke jannah sebagaimana janji-janji Allah Subhanahu Wataala. Dalam menonton klip ini ada satu  fakta yang kurang tepat iaitu Kaabah dikatakan didirikan oleh Nabi Isa A.S yang mana kita ketahui arkitek pembinaan Kaabah adalah Nabi Ibrahim A.S. Pun begitu, klip video ini masih dapat memberi sumbangan yang besar ke arah pencerahan minda umat Islam dalam memahami letak duduk isu ini. Wallahu A'lam.