Saturday, 31 December 2011

UMMATUN WASATA – DARI PERSPEKTIF AQIDAH – BAHAGIAN 2

Aqidah Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah yang berteraskan al-Quran dan as-Sunnah serta sebagaimana yang kefahaman dan dipraktikkan oleh para sahabat Radhiallahu Ajmain dikatakan sebagai Aqidah Ummatun Wasata (Umat yang mempunyai pegangan aqidah pertengahan) kerana keberadaannya jelas tidak ghuluw dengan condong ke kanan atau ke kiri. Perbandingan aqidah golongan al-Firqatul Haarikah seperti Jahmiyah, Jabariyah, Qadariyah, Murjiah, Khawarij dan Syiah dengan Aqidah Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah diperincikan seperti berikut:

Aqidah Jahmiyyah mengatakan bahawa Allah Subhanahu wa Ta’ala tidak bertempat dan mengingkari bahwa Allah di atas ‘Arsy dan menolak semua sifat Allah. Aqidah Mujassimah/Musyabbihah pula mengatakan bahawa sifat Allah Subhanahu wa Ta’ala itu menyerupai sifat seperti makhlukNya. Atas dasar ini, mereka mendakwa bahawa Allah Subhanahu wa Ta’ala itu mempunyai tangan, kaki, muka dan sebagainya lagi berdasarkan kefahaman mereka terhadap nas-nas mutasyabihat berbentuk sifat. Hal sedemikian dapat dilihat bagi kaum Nasrani yang menjadikan Nabi Isa Alaihissalam sebagai Tuhan dan kaum Yahudi menganggap Nabi Uzair Alaihissalam sebagai anak Tuhan (Lihat Surah at-Taubah: 30). Sedangkan sifat-sifat Allah Subhanahu wa Ta’ala adalah merupakan ajaran para Rasul di mana dalam aqidah Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah, kita beriman dengan khabar ghaibiyyah yang dibawa oleh para Pesuruh Allah Subhanahu wa Ta’ala. Secara ringkasnya kita tidak tahu erti sebenar sifat itu, serahkan kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala, Maha Suci Allah Subhanahu wa Ta’ala daripada serupa dengan makhluk. Imam Malik pernah ditanya “Bagaimanakah istawa Allah?”. Beliau menjawab, “al-Istiwa’ ghair Majhul (ertinya jelas penyebutan “istawa” dalam al-Qur’an), Wa al-Kayf Ghair Ma’qul (ertinya; istawa tidak boleh dimaknai dengan sifat-sifat benda), beriman dengan adanya “istawa” adalah kewajiban, menanyakan bagaimana istawa (Kayf istawa?) adalah bid’ah”.
Jabariah ialah nama golongan yang berfahaman bahawa setiap perbuatan itu datang daripada Allah Subhanahu wa Ta’ala. Hamba itu tidak berkuasa, tidak berkehendak dan tidak ada ikhtiar baginya sebaliknya menganggap yang sebenarnya melakukan perbuatan hamba itu ialah Allah. Mereka melampaui batas dengan menafikan adanya kemampuan bagi seseorang hamba dan menafikan ikhtiar. Mempunyai kaitan dengan Wahdatul Wujud, iaitu makhluk dan Tuhan boleh bersatu. Mereka mengambil ayat al-Insan:30 sebagai dalil dengan intisari “Tetapi kamu tidak mampu menempuh jalan itu, kecuali dikehendaki Allah”. Qadariyah adalah suatu aliran yang percaya bahwa segala tindakan manusia tidak dicampuri oleh Tuhan. Aliran ini berpendapat bahawa setiap manusia adalah pencipta bagi segala perbuatannya; mereka dapat berbuat sesuatu atau meninggalkannya atas kehendaknya sendiri. Mereka mengambil ayat ar-Ra’d:11 sebagai dalil dengan intisari “Allah tidak akan mengubah keadaan suatu kaum sebelum mereka mengubah diri mereka sendiri”. Bagi aqidah Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah, kedua-dua ayat al-Quran tersebut digunapakai kerana manusia diberi ikhtiar tetapi keinginan dan kemampuan ditetapkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala. Seperti mereka berhajat hendak pergi ke suatu tempat di mana keinginan tersebut diilhamkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala. Manakala kemampuan untuk sampai atau tidak adalah ketentuan Allah Subhanahu wa Ta’ala juga. Begitu juga mereka tidak diberi pilihan terhadap perkara yang telah diqadarkan seperti hayat umur atau dilahirkan sebagai bangsa dan keturunan tertentu.  Secara ringkasnya mereka boleh memilih usaha tetapi natijah tidak boleh ditetapkan oleh mereka. Justeru aqidah ini adalah di tengah-tengah yakni bermula dengan ikhtiar/usaha manusia manakala natijah/ketentuan adalah berdasarkan qada’ dan qadar  Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Sunday, 18 December 2011

UMMATUN WASATA – DARI PERSPEKTIF AQIDAH – BAHAGIAN 1

Metodologi dan pendekatan dalam Islam adalah penting lebih-lebih lagi dalam aspek yang menyentuh akar tunjang agama iaitu aqidah. Ianya adalah kritikal sama ada kita memiliki aqidah yang benar sebagaimana manhaj Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah yang berteraskan al-Quran dan as-Sunnah serta sebagaimana yang kefahaman dan dipraktikkan oleh para sahabat radhiallahu ajmain.

Sebagai Ummatun Wasata (umat seimbang) kita diberi tanggungjawab untuk beriman kepada Allah dan RasulNya dengan sesuatu yang unik dan suci secara memaparkan mesej aqidah hakiki Islam yang berpaksi dengan Aqidah Ummatun Wasata (Umat yang mempunyai pegangan aqidah pertengahan). Inilah manhajnya dan kita tidak boleh kehilangan pendekatan dalam memahami aqidah yang benar ini. Ini penting kerana perkhabaran ini telah diberitahu oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam hampir 14 kurun yang lalu;   

Dari Abi Hurairah radhiallahuanhu bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, "Yahudi terpecah menjadi 71 atau 72 golongan, nasrani terpecah menjadi 71 atau 72 golongan. Dan umatku terpecah menjadi 73 golongan. (HR Abu Daud, Tirmizi, Ibnu Majah, Ibu Hibban dan Al-Hakim).

Sesungguhnya Bani Israil terpecah menjadi 72 millah (agama), sementara umatku berpecah menjadi 73 millah (agama). Semuanya di dalam neraka, kecuali satu millah." Sahabat bertanya, "Millah apa itu?" Baginda menjawab, "Yang aku berada di atasnya dan juga para sahabatku." (HR At-Tirimizi, Abu Daud, Ibnu Majah, Al-Baihaqi dan Al-Hakim)

Dua kelompok manusia yang diciptakan oleh Allah Subhanahu Wataala iaitu al-Umatul-Islamiyah (Umat Islam) dan al-Umatul-Kafiraah (Umat yang tidak beriman) seperti 
Yahudi, Nasrani, Sikh, Hindu, Buddha; dengan kata lain, mereka semua tidak beriman kepada Allah
Subhanahu Wataala. Ini termasuklah fahaman-fahaman yang menyimpang seperti Humanisme, Scientology dan isme-isme yang tidak ada usul yang jelas kekufuran golongan Al-Umatul-Kafiraah terhadap Allah Subhanahu Wataala.

Berdasarkan hadis di atas, dapat disimpulkan bahawa umat Islam terbahagi kepada dua iaitu Ummatu Muhammad (Umat Muhammad yang juga dikenali sebagai al-Firqatun Najiyah, atau golongan yang selamat) dan Ummatu Ahlul Qiblah (Umat Qiblah, dari tujuh puluh dua golongan yang menyimpang - juga dikenal sebagai al-Firqatul Haarikah). 72 golongan dari umat Islam akan masuk neraka (Hanya Allah
Subhanahu Wataala yang mengetahui tempoh masanya) dan satu golongan akan masuk syurga. Oleh itu sekiranya kita ingin selamat dari api neraka, maka kita harus mencari pengetahuan tentang golongan yang selamat dan mempelajari serta mengamalkan ciri-ciri al-Firqatun Najiyah.


Dalam masa yang sama kita juga hendaklah mengenali golongan al-Firqatul Haarikah dan ciri-ciri mereka. Nama-nama besar dalam golongan ini adalah seperti Jahmiyah, Jabariyah, Qadariyah, Muktazilah, Khawarij dan Syiah.  Mereka merupakan duri dalam daging bagi umat Islam sejak zaman awal kemunculan Islam lagi. Ini disebabkan pakej Islam yang dibawa oleh mereka menyelisihi ajaran Islam yang syumul. Malah mereka tidak segan silu mendakwa bahawa merekalah merupakan golongan Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah walaupun ada di kalangan mereka yang mengambil nas-nas al-Quran dan as-Sunnah secara terpilih dan tidak sebagaimana kefahaman dan praktik oleh para sahabat radhiallahu ajmain. Justeru, harus diingat bahawa Islam ini ada pemiliknya iaitu Allah Subhanahu Wataala, Tuhan Rabbul Jalil. Dialah yang akan menghancurkan perosak-perosak agama dengan azab siksaan yang amat pedih. Oleh itu maklumat lanjut mengenai Jahmiyah, Jabariyah, Qadariyah, Muktazilah, Khawarij dan Syiah akan diterangkan dalam posting yang akan datang. Wallahu a’lam.

Saturday, 3 September 2011

SAMBUNG BICARA...

Salam Aidil Fitri,

Kemaafaan kepada semua rakan. Sudah lama tidak menghantar posting dek kerana kesibukan dengan urusan dunia...exam dah dekat, course work memang bertimbun dan viva around the corner. Awal minggu dapat amaran daripada Web Master nak tutup blog ini kerana lama tak aktif. InsyaAllah bila tamat belajar dalam sebulan dua ni...akan aktif berblog kembali. Jazakallahu khair

Friday, 1 July 2011

SISTEM DEMOKRASI – SATU BENTUK BERHALA MODEN


Sistem demokrasi diwar-warkan sebagai sistem terbaik untuk manusia menjalani kehidupan di muka bumi ini. Perkataan demokrasi bererti ‘pemerintahan oleh rakyat’ berasal dari Greek yang diperkenalkan pada sekitar pertengahan abad ke-4 BC.  Secara asasnya istem ini diamalkan dengan memilih seseorang/sekumpulan untuk memimpin sekumpulan manusia yang lain dan mewakili mereka membuat keputusan dalam pemerintahan. Di samping memilih, sifat demokrasi juga boleh menolak  yakni pemimpin yang tidak digemari oleh kumpulan majoriti boleh dijatuhkan.

Pakej kalimat yang menjadi gandingan demokrasi adalah seperti  keadilan, kesamarataan dan kebebasan. Boleh dikatakan ianya dipraktik dan menjadi wirid harian dalam seluruh kehidupan kebanyakan umat manusia di seluruh pelusuk benua. Justeru isu-isu kehidupan yang mencakupi aspek politik, ekonomi dan sosial telah diamalkan atas kerangka demokrasi. Dari sudut politik, perebutan kuasa di antara kumpulan-kumpulan adalah sesuatu yang lumrah. Mereka  saling bertelingkah untuk menjatuhkan di antara satu sama lain dan mengamalkan kerja-kerja mungkar untuk menguasai sekumpulan orang ramai supaya memihak kepada mereka. Dalam bab ekonomi, terdapat aktiviti dan sistem kewangan yang berat sebelah, monopoli, bebas untuk menguasai pasaran dan bebas untuk mengamalkan riba. Manakala dalam aspek sosial adalah laungan kesamarataan jantina, perkahwinan sejenis dan seks bebas. Paling ketara adalah dalam siasah/politik di mana dapat dilihat demokrasi dijadikan perkataan keramat oleh semua orang walhal kedapatan mereka sendiri tidak memahami istilah demokrasi. Rata-rata mereka memahami bentuk demokrasi seumpama dalam dailog filem Melayu lama, “satu untuk engkau, satu untuk aku” atau “suara majoriti (terbanyak) adalah paling benar” atau “suara rakyat suara keramat” yang mana dikaitkan dengan keadilan dan hak asasi. Barah demokrasi yang paling kronik adalah apabila orang berkata "hak kita berdemonstrasi dijamin oleh perlembagaan yang bercirikan demokrasi". Namun adakah mereka berani untuk terus menyambung dengan ungkapan sebegini "....walaupun mengikut al-Quran dan as-Sunnah demonstrasi itu haram?".

Sebagai umat Islam, wajib kita memahami bahawa sistem demokrasi bukanlah amalan pemerintahan yang dituntut oleh al-Quran, bukan amalan Rasulullah Sallallahi Alaihi Wassalam dan tidak juga dipraktikkan oleh Khalifa ar Rasyidin dan sahabat-sahabat. Justeru dapat disimpulkan bahawa sistem demokrasi tidak dapat dijadikan sandaran kita dan adalah tertolak di sisi Islam. Cuba fikir atas iradah siapa yang mewujudkan ketua dalam kawanan haiwan di rimba? Sudah pasti haiwan tidak mengundi dalam pilihanraya untuk memilih ketua. Jawapan yang jelas adalah Allah Yang Maha Pencipta yang memberi ‘instinct’ supaya muncul di kalangan haiwan tersebut untuk menjadi ketua. Dalam hal yang sama, suara teramai bukanlah juga asas untuk memilih jalan hidup. Adakah suara teramai di beberapa negara Eropah yang menghalalkan pelacuran, judi, riba dan seribu satu macam maksiat yang melanggar hukum Allah Subhanahu Wataala dan hukum fitrah manusia dapat diterima? Logik akal yang tidak dicemari hawa nafsu akan maklum dalam membezakan antara yang haq dan batil kerana Islam, akal dan fitrah ada  perkaitan dan tidak bertentangan di antara satu sama lain. Namun dalam konteks politik Malaysia dan demi ‘survival’ Melayu Islam, demokrasi hanyalah sebagai wadah mengambil kemudaratan yang teringan daripada dua kemudaratan. Namun kewajipan untuk kita kembali berpaksikan kepada neraca al-Quran dan as-Sunnah dalam politik masih perlu diusahakan. Dalam usaha pencarian sistem pemerintahan yang haq, umat Melayu Islam jangan taksub dan bertuhankan demokrasi yang mana ianya dijadikan berhala moden, dipuja, disembah dan diagung secara melampau mengatasi sistem pemerintahan yang telah digariskan oleh al-Quran dan as-Sunnah! Wallahu a’lam.



Friday, 24 June 2011

KOMENTAR DALAM MALAYSIAKINI

Saya ada membuat komentar mengenai perhimpunan Bersih dalam Malaysiakini pada 14 Jun 2011.

Abu Syahmi Abdullah pada 14hb Jun pukul 5.14 ptg

Hidup hendaklah dengan ilmu agama. Sebagai seorang Islam, cuba semak dan kaji mengenai kaedah demonstrasi ini berdasarkan al-Quran dan hadith-hadith yang sahih. Selepas itu rujuk dengan ulamak/ustaz yang muktabar dan non-partisan. Sememangnya demonstrasi adalah haram di sisi agama Islam dan ada kaedah yang dibenarkan Islam dalam berhadapan dengan penguasa. Ketahuilah sesungguhnya azab Allah SWT itu amat pedih.

Terdapat 5 responden yang identiti mereka saya namakan sebagai A,B,C, D, dan E. Mereka mengulas komentar saya tersebut seperti di bawah:

A · Pengulas Tertinggi · Miri, Sarawak Balas · pada 14hb Jun pukul 6.14 ptg
abu syahmi abdullah?!, demonstrasi ditau pun haram?, tapi klu menyamun,merompak,menipu mempekosa harta rakyak, menipu masa pilihan raya membenarkan pendatang asing dapat ic untuk mengudi, rasuah pilihan raya, rasuah dan memfitenah org meliwat dn melucah, itu tidakah lebeh haram.klu hendak menesihatkan org cermin muka sendiri dulu

B · Pengulas Tertinggi · Xkolej· Balas · pada 14hb Jun pukul 6.17 ptg
ha3..abu syahmi belajar kitab mana ....belum habis lagi...pegi belajar...kesian, jahil bebenor.

C · CEO di Canaimas Sdn Bhd Balas · pada 14hb Jun pukul 7.08 ptg
hmmm dah biasa dgr statement ni...meh kita hurai lebih dalam lagi.Rasulullah SAW bersabda, jgn kau lihat siapa yg berkata, tetapi dgr apa yg dikata..jd nk tny dgn Abu Syahmi, selama ni ms org berkata-kata tanpa sebarang demonstrasi, adakah pihak pemerintah memandang serius kata2 tersebut? kenapa rakyat sekarang buat demonstrasi? jgn tunding jari pd yg buat demonstrasi, kt tgk pd diri kt dahulu, kalau kt pemerintah yg baik, adakah rakyat kita akn berdemonstrasi kepada kita? sbb salah lah rakyat buat..bl demonstrasi, rakyat berharap benda itu mendapat perhatian yg tgi dr kacamata pemimpin..
satu lagi kita pergi kpd sifat Allah SWT. IRADAT. berkehendak. sesungguhnya, kehendak pd manusia itu, adalah kehendak dari Allah SWT. maknanya terjadinya demonstrasi itu adalah atas kehendak Allah SWT. Jgn lihat rakyat yg slh terikut-ikut org demonstrasi dia nk demonstrasi juga..jgn pandang yg itu.. pandang mana slh aku sampai rakyat nk demonstrasi

D · Al-Azhar University · Reply · June 14 at 11:41pm
Abu Shahmi Abdullah....islam tu sesuai sepanjang masa.....kita ada Alquran...Assunnah....ijmak...kias...dari ijtihad ulamak2.....apakah cara lain untuk mengubah,meminta hak ummat islam dari pemimpin2 'islam' yg bnyak mnhncurkan nilai2 islam...????? kita lihat saje dimesir apabila kehendak rakyat dipemainkan...apabila rakyat mahukan peminpin yg adil..dipermainkan...adakah rakyat mesir tiada pertimbngan agama?????maaf...sekadar perkongsian...fahami islam....insyAllah selamat...

E · UITM   Reply · June 15 at 8:31am
bro... org pi haji tu pun dah kira demonstrasi... melontar di jamrah tu menunjukkan kita ni menolak kejahatan... pendek kata haji tu merupakan demonstrasi mega umat Islam seluruh dunia menentang kejahatan dan kezaliman... kat mesia ni kalau dah ada kezilaman secara terang-terangan yang boleh dibuktikan,,, jadi demonstrasi adalah wajib..

Seterusnya saya hubungi mereka melalui FB dengan mesej berikut "Assalamualaikum, I'm touched with your intellectual comment in the Malaysiakini. Would you mind to post your email address, so that we could communicate better. Jazakallahu khair" .... tapi sayang mereka tidak menjawabnya.

Apa pula komen pembaca semua?

Sunday, 19 June 2011

TANDA-TANDA PENGANUT SYIAH

 Gambar hiasan: Penganut Syiah memuja kubur Abu Lu'lu'ah, pembunuh Saidina Umar al-Khattab R.A

Tanda-tanda seseorang telah dipengaruhi/terjebak dengan Syiah. Ciri-ciri di bawah adalah sebahagian dari petanda seseorang yang menganut ajaran Syiah. Berwaspadalah jika tanda-tanda sebegini dilihat mula kelihatan pada orang-orang yang anda sayangi:

1.         Sentiasa memuja Saidina Ali R.A dan melebihkan beliau daripada Saidina Abu Bakar R.A dan Saidina Umar R.A

2.         Memperlekeh dan memandang rendah sahabat-sahabat Rasullullah Sallallahi Alaihi Wassalam.

3.         Sering menghimpunkan (jamak) sembahyang Zuhur bersama Asar dan Maghrib bersama Isyak tanpa sebarang sebab.
4.         Kaki tidak dibasuh ketika berwuduk sebaliknya hanya disapu sahaja.

5.         Sujud di atas batu Karbala ketika solat.
6.         Menepuk paha ketika memberi salam sesudah sembahyang.

7.         Tidak mahu makan ikan yang tidak bersisik.
8.         Melewatkan berbuka puasa sehingga hampir waktu Isyak.

9.         Memarahi orang-orang yang berpuasa Asyura.
10.       Sering memperkatakan tentang keperluan kepada imam zaman ini (Imam Mahdi).

Saturday, 11 June 2011

BERSIH YANG HARAM


Pada masa ini golongan penentang kerajaan telah merancang untuk berdemonstrasi. Mereka telah berusaha mengajak orang ramai turun ke jalanan untuk tunjuk perasaan dalam Demonstrasi Bersih 2.0 pada 9 Julai 2011. Dalam beberapa siri artikel terdahului, blog ini memaparkan artikel yang bertajuk “Halalkah Revolusi dan Demonstrasi Menentang Pemerintah?” Maka ibrah-ibrah yang dapat diteladani dalam perkara seumpama ini adalah seperti berikut:

1.  Demonstrasi adalah kaedah Yahudi/Barat. Demonstrasi yang pertama dalam sejarah Islam adalah penentangan terhadap Saidina Uthman Ibn Affan RA yang dianjurkan oleh Abdullah bin Sabaq, seorang Yahudi yang berakhir dengan pembunuhan terhadap Amirul Mukminin.

2.    Wirid-wirid yang biasa kita dengar sebelum demonstrasi bermula adalah aman, bersih, hak rakyat dan suara-suara yang muluk-muluk. Namun demonstrasi bertukar menjadi ganas dan di luar kawalan malah menular sehingga berlakunya kehilangan nyawa dan kerosakan serta kemusnahan terhadap harta benda.

3.    Sejarah lalu menunjukkan PASTI ada ‘tangan-tangan ghaib’ yang mempunyai sumber kewangan yang kukuh bagi membiayai demonstrasi ini. Jejak-jejak Yahudi dapat dikesan yang datang dalam pelbagai bentuk seperti CIA, NGO, Multi National Corporation dan malah dalam bentuk ikon-ikon Islam sendiri (ulamak suq).

4.    Golongan penentang mungkin mempunyai mesej yang hendak disampaikan. Namun dalam kaedah usul fiqh, yakni berdasarkan nas-nas al-Quran dan hadith-hadith yang sahih, ulamak-ulamak telah menetapkan kaedah ‘amar makruf nahi mungkar’ iaitu mencegah kemudaratan didahulukan daripada memperolehi kemaslahatan dan mengambil kemudaratan yang teringan daripada dua kemudaratan. (Ada kaitan dengan bilangan 2 yakni demonstrasi adalah satu kemudaratan dan perlu dicegah/jauhi)

5.    Namun sandaran yang kukuh bagi kita adalah dengan berpandukan dan beramal dengan al-Quran dan hadith-hadith sahih, di mana adalah jelas kepada kita bahawa demonstrasi menentang pemerintah adalah HARAM.

6.  Allah Subhanahu Wataala Yang Maha Mengetahui mengenai iradah kauniyyah dan iradah Syar’iyyah. Soal pemerintah yang zalim akan diadili dengan sewajarnya oleh Allah Subhanahu Wataala Yang Maha Adil. Justeru segala apa yang terjadi adalah dalam pengetahuanNya. Wahyu yang diturunkan kepada Rasullullah Sallallahi Alaihi Wassalam dan diperjelaskan melalui sunnah Baginda hendaklah diikuti. Wahyu semestinya mengatasi Akal dan bukan sebaliknya. Akal hanya sekadar faktor pembantu dan bukannya faktor PENENTU. Justeru sebagai hamba kita patuhilah ‘samiqna wa athoqna’.

Apa yang dapat kita simpulkan bahawa tindakan demonstrasi menentang pemerintah Islam adalah BERTENTANGAN dengan nas-nas al-Quran dan hadith-hadith yang sahih dan hukumnya HARAM. Maka segala tindakan tersebut tidak lain dan tidak bukan adalah mengikut kemahuan nafsu yang dirancakkan dengan bisikan Iblis laknatullah. Ternyata mereka adalah pengikut setia Machiavelli yang menggunakan akal semata-mata dan berprinsipkan ‘matlamat menghalalkan cara’. Wallahu a’lam.