Ulama-ulama
Salaf telah membincangkan dengan panjang lebar mengenai persoalan bid’ah. Namun
begitu sebahagian besar umat Islam terus masih tidak memahami isu ini dengan
sepenuhnya sebagaimana tuntutan al-Quran dan as-Sunnah serta kefahaman generasi
Islam pada 3 kurun pertama. Maka terjadinya penyelewengan ilmu dan ramai umat
Islam terperangkap dalam doktrin demokrasi dan suara majoriti.
Polemik
ini bukanlah baru, ianya bermula lebih kurang 1,100 tahun yang lalu. Maraknya
bid’ah adalah selepas kurun mufadholah
di mana berlaku penyelewengan sama ada secara sedar atau tidak seperti
kemasukan pemikiran falsafah Yunani, gejala murtad, penggunaan logik akal,
penyebaran hadith-hadith palsu dan rutin harian yang meminggirkan agama. Natijahnya
terdapat kelompok Islam yang menafsirkan al-Quranul dan mensyarah hadith-hadith
secara semberono dan mengikut hawa nafsu masing-masing. Mereka juga tidak
menjadikan amalan dan praktik sahabat, tabiin dan tabiut tabiin sebagai panduan
yang sahih.
Aqidah umat Islam akhir
zaman menepati sabda Rasulullah sallAllahu
`alaihi wasallam iaitu akan terpecah
kepada 73 firqah di mana hanya satu sahaja yang diterima iaitu ahlussunnah wal
jamaah. Justeru ramailah pihak mengaku sebagai ahlussunnah wal jamaah. Walau
bagaimanapun agama Islam ini ada pemiliknya iaitu Allah Azawajalla, Yang Maha
Mengetahui siapakah yang mengikuti risalahNya yang disampaikan oleh Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam. Oleh
itu agak mudah untuk mengetahui letak duduk perkara ini dengan hanya bertanya golongan
yang menyeleweng iaitu “Adakah apa yang kamu turuti
dan ajarkan dalam agama Islam adalah seperti apa yang didakwahkan oleh Nabi sallAllahu `alaihi
wasallam dan sebagaimana yang diamalkan oleh para sahabat Baginda, tabiin dan
tabiut tabiin?.
Terjahan
deras bid’ah oleh pelaku bid’ah tegar mendapat tempat di kalangan masyarakat
awam kerana disaluti dengan pemikiran sangka baik di mana terdapat doktrin
sangka baik iaitu “walaupun Nabi tak buat tapi apa salahnya kita nak buat
baik”. Malah kedapatan antara mereka dengan nada sinis berkata “Kenapa tak naik
unta, kan Nabi naik unta”. Mereka tidak dapat membezakan antara ibadat dan
urusan dunia ummah. Sedang kaifiat sesuatu ibadat ditunjukkan dengan jelas oleh
Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam yang kemudiannya diamalkan oleh
para sahabat, tabiin dan tabiut tabiin.
Lebih
mengelirukan apabila mereka membahagikan bid’ah kepada hasanah(baik) dan
sayyiah (keji), sedangkan Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam bersabda “Hati-hatilah dengan
perkara yang diada-adakan karena setiap perkara yang diada-adakan adalah bid’ah
dan setiap bid’ah adalah sesat.” (HR. Abu Daud no.
4607 dan Tirmidzi no. 2676). Apa yang pasti bentuk bid’ah hakiki
tidak berlaku seperti solat Isyak adalah 5 rakaat atau solat jemaah mingguan
pada hari Khamis bukannya pada hari Jumaat sebaliknya mereka cenderung ke arah
bid’ah idhafi seperti bacaan, ucapan selingan atau perbuatan yang diletakkan
dalam premis sangka baik mereka walhal tidak ada usul daripada Rasulullah sallAllahu
`alaihi wasallam, para sahabat, tabiin dan tabiut tabiin. Kita juga tidak pelik
pada satu hari nanti atas alasan sangka baik, solat tahyatul masjid, solat dhuha
akan dikerjakan secara berjemaah. Di kala masih ramai yang tidak mengamalkan
anjuran Rasulullah sallAllahu `alaihi wasallam dalam urusan muamalat,
munakahat dan iktisad supaya mengikut sunnah, pencipta bid’ah secara tidak
amanah telah meninggalkan sunnah Baginda. Mereka sanggup menghafal dan mencipta sesuatu ibadah
yang tidak ada usul. Malah mereka secara tidak jujur menisbahkan sesetengah
amalan bid’ah tersebut kepada Imam-imam empat mazhab.
Mudaratnya
bid’ah adalah kerana orang Islam tidak dapat membezakan mana yang haq dan mana
yang bathil. Kesesatan yang paling ketara adalah hilangnya “samiqna wa athaqna”
walaupun tertera dengan jelas dalam al-Quran mahupun hadith sahih kerana
meletakkan doktrin sangka baik guru-guru mereka mengatasi apa yang telah diajarkan
oleh Rasulullah sallAllahu `alaihi
wasallam.
Imam Sufyan at-Tsauri
menyifatkan kepentingan menuruti sunnah dengan berkata, ““Jika
kamu mampu untuk tidak menggaru kepala kecuali ada hadis yang membenarkannya
maka lakukanlah.” Justeru kembalilah
kepada agama yang haq, agama yang telah diturunkan oleh Allah Subhanahu Wataala
kepada Rasulullah sallAllahu
`alaihi wasallam dan beramallah sesuai
dengan amalan baginda dan para sahabat yang telah dijanjikan jannah. Wallahu
‘alam.